LHDN nafi aktiviti audit bermotif politik

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menafikan aktiviti audit, siasatan dan pemungutan bermotifkan politik, sebaliknya menegaskan tindakan ke atas mana-mana individu termasuk ahli politik bertujuan memastikan pematuhan kepada undang-undang percukaian yang berkuat kuasa.

LHDN dalam kenyataan pada Sabtu berkata, setiap aktiviti penguatkuasaan termasuk aktiviti pungutan dan guaman sivil dilakukan berlandaskan akta-akta percukaian yang berkuat kuasa serta berpandukan Rangka Kerja Audit Cukai (RKAC) serta Rangka Kerja Siasatan Cukai (RKSC).

“Sebagai makluman, sistem pemilihan kes untuk tindakan penguatkuasaan LHDN adalah berdasarkan kriteria dari sudut kegagalan mematuhi perundangan percukaian semata-mata.

“LHDN tidak menyimpan maklumat kaum, agama, apatah lagi kecenderungan politik individu dalam pangkalan datanya kerana maklumat sebegini tidak membantu penilaian risiko sesuatu kes.

“Pada masa yang sama, maklumat individu atau syarikat yang dikenakan tindakan audit dan siasatan juga tidak didedahkan oleh LHDN kerana tertakluk kepada peruntukan kerahsiaan,” menurut kenyataan tersebut.

LHDN menjelaskan, sebagai sebuah agensi utama pemungut hasil negara, LHDN kekal komited menjalankan amanah diberikan tanpa rasa bimbang atau pilih kasih.

Menurut LHDN, jika ada pihak tidak berpuas hati dengan taksiran atau berasakan terdapat kesilapan pada cukai dikenakan, rayuan boleh dibuat kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP) dengan mengemukakan Borang Q yang boleh dimuat turun dan dicetak di portal rasmi LHDN.

“Borang Q yang lengkap berserta alasan hendaklah dikemukakan ke cawangan yang mengendalikan fail cukai pendapatan perayu.

Artikel Berkaitan:

“Sebelum Borang Q dikemukakan kepada PKCP, pembayar cukai boleh berbincang dengan LHDN melalui platform Prosiding Resolusi Pertikaian untuk mencapai penyelesaian luar mahkamah.

“Sekiranya persetujuan luar mahkamah tidak dapat dicapai, Borang Q tersebut akan dikemukakan dan diputuskan oleh PKCP,” ujarnya.

Pada Jumaat, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), LHDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan tindakan bagi memberi tekanan kepada ahli-ahli Parlimen, pegawai serta ahli keluarga.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu serta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa tindakan tersebut bertujuan memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM nafi tuduhan jadi senjata politik