Satu juta benih ikan dilepaskan ke Tasik Kenyir

Che Abdullah (lima dari kanan) ketika menghadiri Program Pelepasan Benih Ikan di Sungai Leban, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu pada Sabtu.
Che Abdullah (lima dari kanan) ketika menghadiri Program Pelepasan Benih Ikan di Sungai Leban, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu pada Sabtu.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Sebanyak satu juta benih ikan akan dilepaskan di Tasik Kenyir pada tahun ini bagi memulihara sumber makanan itu supaya terus membiak di tasik berkenaan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, usaha itu untuk meningkatkan stok ikan dan sumber perikanan darat bagi menjamin bekalan makanan, sekali gus meningkatkan sosioekonomi nelayan di sungai dan tasik.

"Jabatan Perikanan Malaysia bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bagi menjayakan Program Pelepasan Sejuta Benih Ikan di Tasik Kenyir pada tahun ini.

"Sebanyak RM1 juta juga diperuntukkan khusus bagi pembangunan dan pemuliharaan sumber perikanan darat mampan melalui sumber dan habitat, pemantauan ekosistem serta penubuhan kawasan konservasi perikanan darat," katanya selepas Program Pelepasan Sejuta Benih Ikan di Tasik Kenyir Tahun 2021 di sini pada Sabtu.

Che Abdullah berkata, Program Pelepasan Benih di Tasik Kenyir pada tahun 2020 merekodkan sebanyak 935,460 benih pelbagai spesies seperti kelah, temoleh, sebarau, lampam sungai, terbul, baung dan udang galah bernilai RM550,460 yang dilepaskan secara berperingkat bermula Julai hingga November 2020.

"Tahun ini, sebanyak 5,000 ekor benih lampam sungai bernilai RM10,000 telah dilepaskan ke Sungai Leban, Tasik Kenyir pada 2 Februari lalu. Hari ini, kita telah melepaskan pelbagai spesies ikan seperti kelah, baung, lampam sungai dan udang galah bernilai RM379,668.

"Kesemua benih dilepaskan di tiga lokasi di Sungai Leban diperoleh dari Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) Jabatan Perikanan dan pusat swasta," katanya.

Dalam pada itu, Che Abdullah berkata, beliau berharap program berkenaan dapat mencapai objektif bagi meningkatkan stok ikan air tawar di perairan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Kita bercadang mengadakan kajian inventori di Sungai Leban pertengahan tahun 2021 bagi menilai keberkesanan program pelepasan yang dilaksanakan sepanjang tahun 2021," katanya.