Pasangan kekasih maut, hasrat bertunang tak kesampaian

Ahli keluarga membantu mengangkat jenazah Sharifuden untuk dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Ayer Hitam, Kedah. (Gambar kecil: Sharifuden, Nadya)
Ahli keluarga membantu mengangkat jenazah Sharifuden untuk dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Ayer Hitam, Kedah. (Gambar kecil: Sharifuden, Nadya)
A
A
A

SERI MANJUNG - Pasangan kekasih yang bakal melangsungkan majlis pertunangan bulan depan, maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Batu 11, Segari, Pantai Remis, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, Sharifuden Shahidan, 34, yang memandu Proton Persona bersama bakal tunangnya, Nadya Othman, 36, maut di tempat kejadian.

Turut terkorban, seorang lelaki warga Indonesia yang merupakan penumpang Proton Iswara terbabit, manakala pemandunya, seorang lelaki berusia 31 tahun berasal dari Lundu, Sarawak, cedera parah.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, siasatan awal mendapati Proton Persona terbabit dari arah Taiping menuju ke Seri Manjung manakala Proton Iswara dari arah bertentangan.

"Apabila sampai di tempat kejadian, Proton Iswara berkenaan dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar Proton Persona terbabit.

"Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang Proton Persona serta penumpang Proton Iswara disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Menurutnya, mangsa yang parah mengalami patah kaki kanan telah menerima rawatan lanjut di Hospital Seri Manjung.

"Identiti mangsa ketiga warga Indonesia masih belum dikenalpasti kerana tiada dokumen sah perjalanan. Pengecaman mayat dilakukan oleh rakannya.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Reda kehilangan ibu

Belum setahun pemergian ayahnya akibat paru-paru berair, seorang remaja berusia 13 tahun terpaksa berhadapan kehilangan kedua dalam hidupnya apabila ibunya terkorban dalam nahas itu.

Nur Husnina Hamid Tuah reda menerima takdir itu selepas menerima panggilan telefon dari bapa saudaranya yang memaklumkan kejadian itu.

Menurutnya, Sharifuden yang dipanggil 'pakcik' sepatutnya menghantar ibunya pulang ke rumah mereka di Taman Desa Bayu selepas mencuba pakaian di butik pengantin milik rakan di Sungai Kerang, Trong.

"Saya terkejut ibu terlibat kemalangan. Pada awalnya saya tidak percaya. Ayah pergi Ogos lalu, kali ini ibu pula.

“Tiada apa-apa perubahan pada ibu melainkan dia gembira mahu bertunang dengan pakcik. Saya kenal pakcik sebab satu tempat kerja dengan ibu di restoran makanan segera di sini,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik Hospital Seri Manjung di sini, semalam.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Fasa 2C Seri Manjung

Sementara itu, bapa Sharifuden, Shahidan Omar, 59, berkata, anak sulungnya telah menyatakan hasrat untuk bertunang dengan Nadya dan sempat membawa Nadya untuk berkenalan dengan ahli keluarga di Ayer Itam, Pulau Pinang bulan lalu.

“Majlis tersebut dirancang untuk diadakan bulan depan dengan tarikh perkahwinan pula dijangka pada November ini.

“Sharifuden ini orangnya tidak banyak bercakap dan pendiam. Cuma dia balik ke rumah bulan lepas untuk berbincang majlis pertunangannya. Kami merancang mengadakan satu majlis sahaja dan mereka juga bersetuju," katanya.

Jenazah Sharifuden dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ayer Hitam, Kedah.