Kemelut UMNO-Bersatu susahkan rakyat

Datuk Hamidah Osman
Datuk Hamidah Osman
A
A
A

IPOH - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyifatkan keretakan hubungan UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menyebabkan pentadbiran kerajaan sedia ada terjejas sekali gus menyusahkan rakyat.

Naib Presidennya, Datuk Hamidah Osman berkata, keadaan itu menimbulkan suasana tegang dalam pentadbiran sama ada sesama menteri mahu pun exco kerajaan negeri.

Menurutnya, tanggungjawab mereka sebagai anggota pentadbiran tidak akan berjalan dengan baik apabila masing-masing terus bersikap prejudis kerana tidak mahu parti lain memperoleh kelebihan.

"Mereka tentunya tidak akan bekerja bersungguh sungguh kerana tidak mahu parti lain mendapat mileage. Sebagai contoh di Perak, takkan exco kerajaan negeri dari Bersatu nak beri kelebihan pada Menteri Besar dari UMNO. Begitu juga di peringkat pusat, takkan menteri UMNO nak bagi mileage kepada Perdana Menteri dari Bersatu.

"Tak guna pun umum tidak bekerjasama tapi masih nak terus berada di dalam kerajaan sebab yang akan terima kesan tersebut adalah rakyat," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan rasmi UMNO untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tetapi meneruskan sokongan di dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga habis penggal.

ARTIKEL BERKAITAN:UMNO sah tamatkan kerjasama dengan Bersatu

Dalam pada itu, Hamidah yang juga Pengerusi Penyelaras Putra Perak menegaskan bahawa parti itu mengekalkan keputusan untuk bertanding sekurang-kurangnya 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak.

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, Putra tidak akan bekerjasama dengan mana-mana blok politik lain kerana yakin dengan kemampuan parti itu untuk memenangi kerusi pada PRU15 nanti.

Menurutnya, Putra kekal bergerak sebagai blok ketiga di dalam PRU15 nanti untuk menjadi pilihan alternatif kepada pengundi yang sudah bosan dengan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) mahupun Muafakat Nasional (MN).

"Saya bersama pimpinan Putra sedang mempersiapkan manifesto kami pada PRU15 nanti dan kita akan lancarkan dalam masa terdekat.

"Kita sudah bersedia untuk berdepan PRU15 ini dan berkeyakinan mampu membawa kejutan kepada parti-parti sedia ada di negara ini," katanya.

Pada 20 Februari lalu, Putra Perak mendedahkan bahawa mereka sudah menyediakan calon menteri besar sekiranya parti itu berjaya menguasai majoriti DUN pada pilihan raya akan datang.

Hamidah berkata, calon tersebut merupakan seorang tokoh terkemuka anak Perak yang hanya akan didedahkan apabila tiba masanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Putra sedia calon MB Perak