Nicol, Ras Adiba kongsi rahsia kejayaan

Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi, Nicol Ann David
Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi, Nicol Ann David
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Kuncinya adalah terus fokus kepada peningkatan." Itu adalah pegangan hidup bekas juara skuasy dunia lapan kali, Datuk Nicol Ann David.

Berkongsi kisah perjalanannya menuju kejayaan, bekas ratu skuasy Malaysia itu berkata, walaupun berjaya merangkul gelaran dunia, beliau tidak pernah berasa dirinya sudah mengetahui segala-galanya.

“Saya sentiasa memikirkan untuk meningkatkan diri dan saya mempunyai pasukan sokongan untuk memastikan setiap butiran kecil diambil kira dan diperbaiki setiap kali bersama jurulatih. Saya tidak pernah berasakan bahawa saya berhak membuat apa sahaja dalam hidup saya dan itulah kenyataannya,” katanya sempena Global Mentoring Walk 2021 yang diadakan secara maya pada Sabtu.

Dianjurkan oleh Persatuan Rangkaian Usahawan Wanita Malaysia (WENA) dengan sokongan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kedutaan Amerika Syarikat, acara itu menarik lebih 190 peserta dari seluruh negara.

Menurut Nicol, penetapan minda yang utuh, adalah penting dalam memastikan seseorang itu mencapai matlamatnya.

Senada pandangan Nicol, ialah Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi yang mempercayai bahawa kebolehan diri sendiri adalah aspek terpenting untuk membina daya tahan dalam mengharungi pelbagai cabaran hidup.

“Bangunlah, tunjukkanlah dan berada di sana. Saya menyedari bahawa tiada siapa boleh mengubah keadaan hidup saya, kecuali diri sendiri dan saya mengambil masa setahun untuk menyesuaikan diri dan menerima kenyataan sebagai orang kurang upaya (OKU).

"Anda semestinya berdepan pelbagai cabaran dalam hidup ini dan kadang-kala akan berasa kecewa, namun anda perlu sentiasa mempunyai penetapan minda yang positif," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ras Adiba berkata, usaha mengatasi kecacatan dirinya, ibarat kata pepatah berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, kerana beliau bukan sahaja hidup menganggur selama enam tahun akibat kecacatan yang dialaminya, malah pada masa yang sama, terpaksa bergelut dengan kemurungan.

Selain dilantik sebagai wanita pertama Pengerusi Bernama, personaliti televisyen veteran itu juga merupakan Presiden OKU Sentral, sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak OKU. - Bernama