X

Kindly register in order to view this article
!

Petugas kesihatan swasta di Perak mula terima vaksin

Dr Noor Hisham
A
A

IPOH - Pelaksanaan vaksinasi kepada petugas kesihatan swasta di Perak dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula pada Sabtu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam kenyataan ringkas yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebooknya, Dr Noor Hisham berkata, Stadium Indera Mulia yang dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV), mula dipenuhi oleh petugas kesihatan yang terlibat sejak jam 10.30 pagi.

“Ramai juga kalangan ‘GP’ (doktor atau pengamal perubatan am) yang hadir mendapatkan vaksin. Lindung diri, lindung semua,” katanya dalam kenyataan ringkas bersama gambar yang dikongsikan di laman Facebook rasminya pada Sabtu.

Pada masa sama Noor Hisham turut memaklumkan, laporan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 menunjukkan 9,892 pemberian dos vaksin telah diberikan di Perak setakat Jumaat.

Pada 3 Mac lalu, Perak menerima sebahagian lagi bekalan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech yang dihantar ke empat Pusat Simpanan Vaksin (PSV) bagi pelaksanaan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Sebelum itu, Perak menerima 22,230 dos pertama bekalan vaksin untuk diberikan sepanjang pelaksanaan fasa pertama program melibatkan 39,760 petugas barisan hadapan yang dijangka selesai pada penghujung April ini.

Mereka terdiri daripada 22,094 petugas di bawah Kementerian Kesihatan manakala 17,666 lagi merupakan petugas barisan hadapan daripada jabatan lain yang turut terlibat secara langsung dalam aktiviti pencegahan dan kawalan Covid-19.

Bekalan pertama vaksin jenis sama tiba Perak pada 24 Feb lepas dengan Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad menjadi antara penerima terawal suntikan vaksin pada 1 Mac lalu. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!