500kg LPG dirampas di hotel

Pegawai penguatkuasa KPDNHEP menunjukkan tong gas petroleum cecair yang dirampas di sebuah hotel di Bayan Lepas pada Jumaat.
Pegawai penguatkuasa KPDNHEP menunjukkan tong gas petroleum cecair yang dirampas di sebuah hotel di Bayan Lepas pada Jumaat.
A
A
A

GEORGETOWN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang merampas 10 tong gas petroleum cecair (LPG) berjumlah 500 kilogram (kg) daripada sebuah hotel di Bayan Lepas selepas didapati tidak mempunyai permit kebenaran menyimpan barang kawalan berjadual itu.

Ketua Penguatkuasa KPDNHEP Timur Laut, Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata, rampasan itu dibuat hasil pemeriksaan dilakukan sepasukan penguatkuasa di hotel berkenaan pada Jumaat kira-kira jam 4 petang.

Menurutnya, pihak pengurusan hotel telah diminta untuk mengemukakan permit menyimpan barang kawalan berjadual berkenaan namun mereka gagal berbuat demikian.

"Sepatutnya setiap perniagaan yang ada menggunakan barang kawalan berjadual hendaklah memiliki lesen atau permit kebenaran menyimpan barang kawalan yang dikeluarkan oleh KPDNHEP.

"Siasatan mendapati pihak hotel menggunakan LPG berkenaan untuk kegunaan operasi hotel namun gagal mengemukakan sebarang permit kebenaran menyimpan barang kawalan berkenaan secara langsungnya," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Ahmad Ahrazzuddin berkata, pemilik hotel terbabit telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 7(4) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana gagal mengemukakan permit kebenaran apabila diminta oleh Pegawai KPDNHEP berkaitan barang kawalan yang ada di dalam premis.

Katanya, kesemua 10 tong gas dengan berat 50kg setiap satu dianggarkan bernilai RM1,700.

Dalam pada itu, Ahmad Ahrazzuddin berkata, pihaknya memandang serius terhadap pelanggaran yang dilakukan oleh pemilik perniagaan terutamanya melibatkan lesen dan permit barangan kawalan yang dikeluarkan oleh KPDNHEP.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan kesalahan seseorang itu boleh dikenakan denda sebanyak tidak melebihi RM 1 juta atau penjara tidak boleh melebihi tiga tahun atau kedua duanya sekali. Sekiranya kesahan itu dilakukan oleh syarikat perbadanan mereka boleh didenda tidak lebih RM2 juta.

"KPDNHEP ingin menyeru kepada peniaga yang menjual atau menggunakan barang kawalan berjadual untuk memastikan mempunyai lesen atau permit kebenaran yang dikeluarkan oleh KPDNHEP bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan tegas daripada pihak kementerian.

"Para peniaga seharusnya lebih peka ke atas undang-undang untuk milikan barang kawalan berjadual bagi tujuan perdagangan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan," katanya.