Tiada parti politik berani bawa 'new deal'

Mohamad Khir
Mohamad Khir
A
A
A

SHAH ALAM - Kemelut politik dalam pentadbiran kerajaan pada masa kini adalah disebabkan tiada sebarang 'new deal' atau rundingan baharu dibuat selepas pertukaran kerajaan pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berkata, sehingga kini, tiada mana-mana parti-parti politik di negara ini berani untuk membuat rundingan baharu seperti yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Mohamad Khir berkata, sewaktu ketidakstabilan politik negara pada tahun 1969 lalu, Tun Abdul Razak telah membawa rundingan baharu dengan memperkenalkan DEB yang dapat diterima baik oleh semua pihak termasuk rakyat negara ini.

"Kita kena kaji balik apa Tun Abdul Razak buat ketika itu antaranya dengan tubuhkan Majlis Gerakan Negara (Mageran) dan membuat 'new deal' sehingga Barisan Nasional (BN) dapat dibentuk.

"Ketika itu, parti Gerakan yang menang di Pulau Pinang turut dijemput masuk ke dalam BN bersama-sama Pas.

"Tapi bila berlaku pertukaran kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 lalu, kita tak buat 'new deal' itu. (Apa) Yang berlaku hanya ungkit mengungkit dan kerja balas dendam," katanya menerusi rakaman video Facebook Live Apa Kata Dahlan bertajuk 'Jajaran Baru UMNO Ke Arah Mana?' pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Khir berkata, DEB sudah diperkenalkan sejak 30 tahun lalu dan negara pada masa ini masih tidak mempunyai sebarang dasar baharu yang diyakini mampu untuk direalisasikan serta dinikmati oleh rakyat.

Beliau berkata, ahli-ahli politik sepatutnya bertindak rasional memandangkan kebanyakan parti-parti politik di negara ini mempunyai pengalaman berada dalam pentadbiran kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi mereka akan tahu apa kepincangan kerajaan tapi malangnya masih tak ada idea-idea baharu," katanya.

Tambahnya, golongan muda di negara ini turut terkapai-kapai berikutan gagal melihat dengan jelas hala tuju negara pada masa hadapan.

"Sebab itu, kerajaan mana pun yang naik atau kekal selepas ini perlu menyediakan satu pelan jangka panjang seperti mana dilakukan oleh Tun Abdul Razak.

"BN mampu stabil selama 30 tahun kerana gagasan 'new deal' yang dibawa ketika itu cukup difahami pemimpin dan diyakini rakyat," katanya.