Cadang wujudkan kursus pasca perkahwinan untuk suami isteri

Rina (tengah) beramah-mesra bersama kakitangan wanita Pelabuhan Tanjung Pelepas ketika merasmikan Program Permerkasaan Wanita Sempena Hari Wanita Sedunia di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) hari ini. Foto Bernama
Rina (tengah) beramah-mesra bersama kakitangan wanita Pelabuhan Tanjung Pelepas ketika merasmikan Program Permerkasaan Wanita Sempena Hari Wanita Sedunia di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) hari ini. Foto Bernama
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bercadang mewujudkan kursus pasca perkahwinan kepada pasangan suami isteri bagi mengukuhkan sesebuah institusi kekeluargaan.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kementerian juga sedang dalam peringkat untuk mempertimbangkan sama ada kursus pasca perkahwinan itu perlu diwajibkan kepada semua pasangan suami isteri tanpa mengira latar belakang dan agama atau sebaliknya.

“Kebiasaanya untuk berkahwin, bakal pengantin khususnya pasangan Muslim perlu menghadiri kursus praperkahwinan, namun selepas melayari perkahwinan tiada sebarang kursus diwajibkan, justeru kementerian memandang berat isu (mengukuhkan) institusi kekeluargaan.

“Kursus (pasca perkahwinan) ini termasuk ‘parenting skill (kemahiran keibubapaan).. ini bukan satu benda yang main-main kerana nyawa tiada tukar ganti,” katanya selepas merasmikan Program Pemerkasaan Wanita Sempena Hari Wanita Sedunia di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah di sini pada Sabtu.

Sementara itu, beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mengemukakan permohonan kepada mahkamah bagi mendapatkan hak penjagaan sementara terhadap dua anak wanita yang maut dipercayai ditembak suami, di Kota Tinggi awal bulan ini.

Pada Jumaat, Bernama melaporkan mangsa berumur 38 tahun maut selepas dipercayai ditembak suaminya secara dekat, menggunakan senapang angin ketika tidur di rumahnya di Taman Saujana, Kota Tinggi, Isnin lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dipetik sebagai berkata, mayat mangsa kemudiannya dimasukkan ke dalam tong air berwarna biru bersama kain cadar dan ditanam di kawasan ladang serai di Bandar Penawar iaitu kira-kira 10 kilometer jaraknya dari rumah.

Dalam perkembangan lain, Rina berkata kementerian itu dengan kerjasama pihak swasta menyasarkan untuk mewujudkan kira-kira 10,000 peluang pekerjaan khususnya kepada golongan wanita menjelang hujung tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sehingga kini kementerian telah mengadakan kerjasama dengan 10 syarikat swasta bagi mencapai matlamat itu dalam usaha membantu golongan wanita yang terjejas termasuk dibuang kerja akibat pandemik Covid-19 ketika ini. - Bernama