X

Kindly register in order to view this article
!

JKM kesan waris bayi lelaki tanpa pengenalan diri

Bayi lelaki yang ditinggalkan ibu kandung kepada keluarga angkat di Taman Kampung Padang di sini tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.
A
A

KUANTAN - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang mengesan waris seorang bayi lelaki berusia 3 bulan yang diserahkan kepada keluarga angkat di Taman Kampung Padang, di sini sejak Disember tahun lalu.

Bayi berkenaan diserahkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri oleh seorang wanita dipercayai ibu kandungnya pada 16 Disember 2020 untuk jagaan sementara keluarga terbabit.

Pelindung Kanak-Kanak JKM, Zalina Yusoff berkata, ibu kandung bayi berkenaan dikatakan mempunyai urusan yang perlu diselesaikan di bandar Kuantan sebelum menghilangkan diri.

Menurutnya, ketika meninggalkan bayinya, wanita tersebut berjanji akan kembali mengambil anaknya itu namun sehingga 22 Disember tahun lalu dia gagal berbuat demikian dan tidak dapat dikesan.

"Susulan itu, keluarga angkat membuat satu laporan polis sebelum memanjangkan kes ini ke pengetahuan pihak JKM.

"Menurut keluarga angkat bayi ini, mereka tidak mengenali wanita itu secara dekat sebaliknya hanya sesekali berjumpa di kawasan perumahan tersebut semasa bayi masih dalam kandungan," katanya.

Zalina berkata, usaha mencari wanita itu telah dilakukan namun proses pencarian berdepan kesukaran memandangkan bayi berkenaan diserahkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.

"Justeru perintah jagaan sementara ke atas kanak-kanak dan pencarian waris melalui siaran media telah dipohon di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Daerah Kuantan.

"Kita harap ibu kandung bayi (seperti dalam gambar) segera kembali untuk membantu pihak JKM dan keluarga angkat untuk urusan dokumen bayi tersebut," katanya.

Zalina berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali waris bayi ini, diminta untuk hadir di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kuantan atau menghubungi beliau (pelindung) di talian 09-5724225


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!