Penduduk pangsapuri bimbang tebing runtuh jejaskan struktur bangunan

Vivian menunjukkan beberapa rekahan terjadi di luar struktur bangunan yang dipercayai kesan daripada kejadian tebing berhampiran yang telah runtuh sejak September tahun lepas, hari ini. - Foto Bernama
Vivian menunjukkan beberapa rekahan terjadi di luar struktur bangunan yang dipercayai kesan daripada kejadian tebing berhampiran yang telah runtuh sejak September tahun lepas, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Penduduk sebuah pangsapuri di Jalan Permas, Permas Jaya, di sini bimbang terhadap keselamatan mereka apabila pagar penghadang tempat letak kereta dan struktur luar bangunan itu mulai retak dipercayai akibat runtuhan tebing berhampiran sejak enam bulan lepas.

Pengerusi penduduk, Vivian Tan berkata, runtuhan tebing berlaku pada September tahun lepas akibat hujan lebat dan apa yang lebih merisaukan ialah lokasi tebing itu berhampiran dengan selekoh jalan utama, yang semakin terhakis, sekali gus boleh mengancam nyawa orang ramai.

“Kejadian seperti ini pernah berlaku pada 2014. Kali ini, kami (penduduk) mendapati terdapat tiga lubang di sekitar pagar luar pangsapuri ini yang dipercayai kesan daripada hakisan tanah,” katanya yang ditemui pemberita di lokasi tebing runtuh itu, pada Sabtu.

Katanya, beliau sudah mengemukakan masalah itu kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan pihak terbabit telah meletakkan satu penghadang di kawasan itu, namun tiada tindakan susulan dilakukan sehingga kini.

“Kami harap pihak MBJB dapat mengambil tindakan segera kerana kita lihat keadaan tanah semakin mendap,” katanya sambil menambah pangsapuri terbabit sudah didiami penduduk sejak 23 tahun lepas.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, masalah berkenaan perlu diatasi segera bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku seperti tragedi runtuhan di Highland Towers, Selangor.

“Ini masalah rakyat... saya tidak mahu menimbulkan kebimbangan tetapi kita tidak mahu ia jadi seperti Highland Towers sebab ada longkang di bawah tebing, jadi ia melibatkan sistem bawah tanah yang mana ia masalah serius,” katanya.

Sehubungan itu, Hassan berkata, beliau akan mengemukakan masalah berkenaan kepada MBJB, kerajan negeri Johor dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk memastikan tindakan segera diambil. - Bernama

Artikel Berkaitan: