500 pelajar terima bantuan persekolahan Yayasan Bank Rakyat

Sejumlah RM75,000 disediakan pada Majlis penyerahan bantuan persekolahan Yayasan Bank Rakyat kepada 500 pelajar sekitar Tambun.
Sejumlah RM75,000 disediakan pada Majlis penyerahan bantuan persekolahan Yayasan Bank Rakyat kepada 500 pelajar sekitar Tambun.
A
A
A

TAMBUN - Seramai 500 pelajar sekolah menengah dan rendah sekitar Tambun menerima bantuan persekolahan menerusi Program Kembali ke Sekolah Yayasan Bank Rakyat (YBR) di sini pada Sabtu.

Pengurus Jabatan Program YBR, Mohd Mukhti Abd Rahman berkata, sebanyak RM75,000 diperuntukkan untuk membantu pelajar berkenaan termasuk 160 pelajar orang asli.

“Prihatin dengan kekangan yang dihadapi oleh pelajar sekolah rendah dan menengah yang bakal memulakan persekolahan pada Isnin ini, satu sesi penyerahan telah disempurnakan.

“Kami bukan sahaja menyasarkan bantuan ini diberikan kepada golongan yang kurang berkemampuan dari masyarakat tempatan malahan juga masyarakat orang asli untuk mereka membuat persiapan persekolahan,” katanya yang mewakili Pengerusi YBR, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin di sini.

Hadir sama, Pengerusi Yayasan Aiman, Datuk Aminuddin Md Hanafiah dan Ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Datuk Azizul Kama Abd Aziz.

Menurutnya, pelajar menerima bantuan berbentuk set pakaian, stokin, kasut dan beg sekolah baharu.

“Inisiatif ini diharap dapat membantu mereka yang memerlukan dan juga menyuntik semangat murid-murid ini untuk ke sekolah sama seperti mereka yang bernasib baik.

“Program ini akan diagihkan ke 135 lokasi lain yang telah dikenalpasti kerana ia bukan sahaja dapat meringankan keluarga malah dapat membantu meningkatkan pencapaian pendidikan dalam negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Mukhti berkata, seramai 33,721 murid telah menerima manfaat melalui program itu sepanjang 2020 dengan jumlah peruntukkan sebanyak RM3.87 juta.