1,500 pelajar dapat elaun tambang bas sekolah RM50

Aminuddin (kiri) pada sidang media hari ini.
Aminuddin (kiri) pada sidang media hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Seramai 1,500 pelajar sekolah negeri ini yang kurang berkemampuan akan menikmati elaun tambang bas sebanyak RM50 yang akan diberikan oleh kerajaan negeri setiap bulan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, elaun tersebut yang sepatutnya diberi pada awal Januari lalu akan disegerakan bayarannya kepada golongan sasaran dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, sebanyak RM900,000 peruntukan telah disediakan bagi tempoh setahun bagi melaksanakan bantuan tersebut.

“Penerima bantuan terdiri daripada mereka yang tersenarai dalam penerima bantuan Kumpulan Amanah Wang Pelajar Miskin, dan mereka ini layak menerima bantuan tambang bas sebanyak RM50 yang akan diberi setiap bulan.

“Bantuan tersebut sepatutnya mula pada Januari lalu, tetapi ada kelewatan, dan kita akan bayar tunggakan elaun tersebut kepada penerima nanti dalam kadar segera,” katanya.

Tambahnya, bantuan ini akan diteruskan sepanjang tahun mengikut bajet tahunan yang akan dilakukan setiap hujung tahun.

Elaun tambang bas sekolah ini merupakan satu daripada tawaran manifesto Pakatan Harapan di bawah Fasal 4, Pendidikan: Tawaran Pakatan Harapan Negeri Sembilan, yang menawarkan elaun tambang bas sekolah kepada anak-anak kurang berkemampuan sebanyak RM50.

Dalam pada itu, Aminuddin menggesa kepada semua jabatan agensi awam, untuk mempercepatkan tindakan penyampaian bantuan kepada masyarakat melalui peruntukan bajet yang diluluskan, agar rakyat tidak tertunggu-tunggu.

Artikel Berkaitan: