73 koperasi alami kerugian RM3.2 juta akibat Covid-19

Mas Ermieyati meninjau operasi Pasaraya Coop Ummah selepas menyempurnakan majlis perasmian pasaraya itu di Tanjung Lumpur di sini pada Sabtu.
Mas Ermieyati meninjau operasi Pasaraya Coop Ummah selepas menyempurnakan majlis perasmian pasaraya itu di Tanjung Lumpur di sini pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 73 koperasi di seluruh negara mengalami kerugian mencecah RM3.2 juta sehingga 15 Januari lalu ekoran penularan pandemik Covid-19.

Pahang merekodkan bilangan koperasi paling tinggi terjejas melibatkan 40 koperasi diikuti Terengganu dan Johor (9), Kelantan (3), Sabah, Sarawak dan Perak (2), Melaka dan Wilayah Persekutuan(1).

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, turut terjejas lebih 80,000 atau 58.55 peratus golongan usahawan pelbagai bidang di seluruh negara.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 8.5 peratus golongan usahawan terpaksa menghentikan perniagaan masing-masing.

"Menyedari implikasi besar Covid-19 terhadap usahawan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah membangunkan Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi khusus untuk memastikan kelestarian dan pemulihan operasi perniagaan usahawan yang melibatkan pelbagai sektor.

"Bagi pelaksanaan fasa pertama program itu mulai Mei hingga Disember 2020, sebanyak 20 program telah dilaksanakan dengan jumlah peruntukkan RM171 juta melibatkan 12,138 penerima.

"Fasa kedua pula bermula Januari hingga Mei 2021 melibatkan peruntukkan RM17.1 juta," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pasaraya Coop Ummah milik Koperasi Ummah Berhad di Tanjung Lumpur di sini pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir Timbalan Pengerusi Eksekutif SKM, Zazali Harun dan Pengerusi Koperasi Ummah Berhad, Sabariah Mohd Noor.

Mas Ermieyati berkata, walaupun berdepan situasi ekonomi sukar ketika ini, tiada koperasi terpaksa ditutup sebaliknya kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan koperasi di seluruh negara tidak aktif dan ada dalam kalangan mereka terpaksa menangguhkan operasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyediakan program membantu koperasi terjejas untuk mengupayakan semula operasi mereka dalam tempoh tiga bulan dan ada yang berjaya bangkit kembali selepas mengubah pelan perniagaan dan sebagainya,"katanya.

Bagaimanapun katanya, walaupun banyak sektor perniagaan terjejas ekoran pandemik Covid-19, namun sektor peruncitan menunjukkan perkembangan sebaliknya apabila mencatatkan peningkatan hasil gaya hidup dalam situasi normal baharu.

Beliau berkata, bagi mengurangkan impak ekonomi ke atas pemain industri koperasi di Pahang, SKM menyediakan inisiatif khas Program Pemulihan Pasca Covid-19 dengan nilai peruntukkan RM1.66 juta.

"Turut diperkenalkan Inisiatif Khas Pembiayaan Program Pemulihan Pasca Covid-19 berjumlah RM3.48 juta.

"Sementara itu, sebanyak 17 koperasi di Pahang yang terjejas ekoran bencana banjir baru-baru ini turut dibantu melalui Tabung Kecemasan Koperasi (TBBK) SKM,"katanya.

Beliau berkata, dalam mengharungi situasi ekonomi agak sukar ketika ini, koperasi kini perlu mempersiapkan diri untuk lebih mesra teknologi dan memberi nilai tambah ekonomi untuk negeri ini.