Tujuh kawasan catat gelombang haba tahap kuning

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tujuh kawasan di Semenanjung Malaysia merekodkan gelombang haba tahap kuning atau berjaga-jaga setakat jam 4.30 pada petang Jumaat, demikian menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Jabatan itu memaklumkan, lokasi itu ialah Chuping, Perlis; Kota Setar, Kedah; Kuala Kangsar, Perak; Sepang, Selangor; Alor Gajah, Melaka serta Tangkak dan Batu Pahat di Johor.

Sementara itu, tiada gelombang haba dikesan di Sabah dan Sarawak dan semua kawasan di dua negeri itu merekodkan suhu maksimum harian kurang 35 darjah Celsius bagi tempoh sama.

Tahap kuning merujuk kepada suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius untuk sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Status tahap jingga atau 'heatwave' pula ialah apabila mencatat suhu maksimum harian 38 hingga 40 darjah Celsius dan tahap merah (kecemasan) untuk suhu melebihi 40 darjah Celsius, masing-masing bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Dalam pada itu, setakat 12 tengah hari pada Sabtu bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di kebanyakan kawasan di Semenanjung adalah paras sederhana dengan daerah Rompin, Pahang mencatat bacaan tertinggi iaitu 92, manakala rata-rata lokasi di Sabah dan Sarawak pula IPU berada pada paras baik.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas (berbahaya).

MetMalaysia sebelum ini memaklumkan negara kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan hingga pertengahan bulan ini, dengan taburan hujan agak rendah di Semenanjung terutama di negeri-negeri utara.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, jabatan itu tidak menjangkakan keadaan cuaca panas luar biasa berlaku pada tahun ini. - Bernama