X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan sedia bantu pelombong emas jika ada lesen

Wan Junaidi menandatangai plug sempena Perasmian Kilang Pertukangan Emas Koperasi Makmur Malaysia Berhad pada Sabtu.
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan sentiasa memberi sokongan kepada individu yang menjalankan kegiatan melombong emas terutamanya kepada mereka yang mempunyai lesen dan kebenaran kerajaan negeri.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, seperti yang berlaku kepada penduduk Kampug Kechau, Lipis, Pahang, sekiranya diberi kebenaran, kerajaan akan berusaha membantu dari segi keusahawanan mereka.

"Jika kerajaan negeri telah keluarkan lesen serta individu tersebut memenuhi syarat yang diperlukan untuk kegiatan melombong emas, insya-ALLAH pihak kami akan menyokong.

"Kita juga sedia bantu mereka dalam melakukan perjanjian menerusi bank SME dan Bank Rakyat. Dua bank ini diwujudkan sebelum ini bagi membantu golongan usahawan termasuklah penduduk di kawasan kegiatan melombong emas.

"Permohonan mereka akan diteliti terlebih dahulu dan saya berharap pihak bank dapat berikan kerjasama," katanya kepada pemberita selepas Perasmian Kilang Pertukangan Emas Koperasi Makmur Malaysia Berhad, pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Suriani Ahmad, Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Nordin Salleh dan Pengerusi Lembaga Koperasi Makmur Malaysia Berhad, Hishamuddin Abdullah.

Wan Junaidi berkata, pelombong emas juga perlu mengambil langkah sewajarnya supaya kegiatan mereka tidak menjejaskan banyak pihak.

Katanya, apa yang menjadi kebimbangan utama kerajaan adalah keadaan alam sekitar sekiranya aktiviti melombong diteruskan.

"Saya harapkan penduduk yang terlibat dengan kegiatan melombong emas supaya berhati-hati agar tidak membinasakan alam sekitar," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, mereka yang tidak mempunyai lesen untuk melombong emas termasuk di tanah milik sendiri, perlu menghentikan aktiviti tersebut kerana perbuatan itu boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, semua kegiatan perlombongan perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri.

Mereka yang berhasrat melakukan aktiviti itu perlu membuat permohonan kepada agensi berkaitan, sebelum memperoleh kelulusan, jika pemohon memenuhi syarat ditetapkan.

Bagi memastikan aktiviti perlombongan berjalan lancar, teratur dan mematuhi undang-undang, Wan Rosdy memaklumkan kerajaan negeri telah mempertimbangkan cadangan melaksanakan Skim Pelombong Kecil (SPK), khusus bagi aktiviti yang melibatkan kawasan seluas 4.05 hektar ke bawah.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!