Muhyiddin akan bincang soal kuota haji, umrah

Muhyiddin bertolak ke Makkah hari ini bagi memenuhi jemputan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz. - Foto FB Muhyiddin Yassin
Muhyiddin bertolak ke Makkah hari ini bagi memenuhi jemputan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz. - Foto FB Muhyiddin Yassin
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan akan membincangkan soal kuota haji dan umrah bagi jemaah Malaysia dalam pertemuan beliau dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud pada Selasa depan.

Menurut Muhyiddin, selain pertemuan dengan penjaga dua masjid suci umat Islam itu, beliau turut dijadualkan bertemu Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud.

“Lawatan saya ini cukup signifikan kerana antara lain akan membincangkan pelbagai usaha untuk memperkukuh hubungan dua hala dan meneroka kerjasama baharu dalam bidang perdagangan, pelaburan dan hal ehwal Islam yang mampu melonjakkan hubungan baik sedia ada ke tahap yang lebih tinggi.

“Sudah pasti soal kuota haji dan urusan umrah juga tidak ketinggalan akan dibincangkan dalam pertemuan itu kelak,” katanya di Facebook pada Sabtu.

Muhyiddin pada Sabtu berangkat ke Mekah untuk lawatan rasmi sulung ke Asia Barat bagi memenuhi jemputan Raja Salman Abdulaziz Al-Saudi.

Beliau terlebih dahulu akan menunaikan umrah di tanah suci Mekah dan melakukan ziarah di Madinah sebelum memulakan program rasmi di Istana Al-Yamamah di Riyadh pada 9 Mac ini.

Dari Arab Saudi, Muhyiddin dijadualkan terus ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE) untuk bertemu dengan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan dan Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum.

“Doakan agar perjalanan saya ini dipermudahkan dan segala urusan demi kemaslahatan ummah mendapat barakah oleh Allah SWT. Amin,” ujar Muhyiddin.

Artikel Berkaitan: