Cuaca panas: Kerajaan kaji langkah lindungi sektor komoditi

Kerajaan cari langkah terbaik untuk memastikan pendapatan para pemain industri seperti pekebun kecil getah dan kelapa sawit tidak terlalu terjejas ketika menghadapi musim panas ketika ini.23RF
Kerajaan cari langkah terbaik untuk memastikan pendapatan para pemain industri seperti pekebun kecil getah dan kelapa sawit tidak terlalu terjejas ketika menghadapi musim panas ketika ini.23RF
A
A
A

PONTIAN - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan mencari langkah terbaik untuk memastikan pendapatan para pemain industri seperti pekebun kecil getah dan kelapa sawit tidak terlalu terjejas ketika menghadapi musim panas ketika ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, pendekatan seumpama itu perlu dilakukan kerana industri komoditi merupakan sumber pendapatan besar kepada negara.

“Lebih-lebih lagi getah dan sawit kerana ia banyak melibatkan pekebun-pekebun kecil.

“Jadi, kami (kementerian) amat prihatin menitikberatkan langkah yang perlu diambil untuk membantu mereka menghadapi musim cuaca seperti ini,” katanya kepada pemberita selepas selesai menerima suntikan vaksinasi Covid-19 di Klinik Kesihatan Pontian, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan berhubung langkah yang akan diambil kerajaan untuk membantu pemain sektor komoditi negara dalam mendepani musim panas yang mungkin menjejaskan pengeluaran hasil komoditi.

Ahli Parlimen Tanjung Piai itu berkata, bagi sektor getah, antara langkah yang boleh dipertimbangkan ialah dengan memberi subsidi agar harga komoditi tersebut tidak kurang daripada harga lantai iaitu RM2.50 sekilogram.

“Getah ini ada harga lantai iaitu RM2.50. Jika harga pasaran kurang daripada itu, kerajaan akan beri subsidi supaya pendapatan mereka dapat distabilkan,” katanya.

Jabatan Meteorologi sebelum ini meramalkan bahawa cuaca panas dalam negara akan berlarutan sehingga pertengahan April depan.

Artikel Berkaitan:

Ia susulan taburan hujan akan berkurangan ketika ini dengan negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia dijangkakan mengalami keadaan lebih kering dan tempoh tanpa hujan lebih lama. - Bernama