Tubuh Jawatankuasa Khas Pembangunan Kawasan PFA

Mohamad Rafie
Mohamad Rafie
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas (Task Force) Pembangunan bagi mencari penyelesaian isu tanah terbiar iaitu ‘pig farming area’ (PFA) di Bukit Pelanduk, di sini.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, ia melibatkan kawasan seluas 713.3 hektar.

"Untuk mengelakkan pembaziran akibat tanah-tanah terbiar dan untuk memastikan pembangunan boleh dilaksanakan, jawatankuasa khas tersebut akan mendapatkan pandangan pemegang taruh (stakeholders) iaitu pemilik-pemilik tanah di kawasan ini," katanya pada Jumaat.

Beliau berkata, perbincangan akan dimulakan dengan sesi santai untuk mendengar pandangan rakyat yang boleh melontarkan idea serta pandangan mengenai langkah untuk membangunkan tanah di kawasan berkenaan.

"Adakah pemegang taruh masih berminat dalam penternakan atau mahu mencadangkan kemajuan daripada perspektif lain. Ia akan didengar oleh jawatankuasa khas ini dan kita akan berusaha mendapatkan pandangan majoriti dalam usaha untuk menyelesaikan masalah.

"Jawatankuasa khas ini diberi tempoh enam sehingga 12 bulan untuk menjalankan perincian dan mengemukakan cadangan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan untuk dipertimbangkan," katanya.

Sebelum ini Bukit pelanduk merupakan sebuah kawasan bagi industri penternakan babi terbesar di Malaysia bagaimanapun ia kini sepi akibat wabak virus Nipah pada tahun 1999 sehingga menyebabkan 108 kematian.

Artikel Berkaitan: