Remaja jadi buruh paksa

Anggota polis memeriksa remaja Rohingya ketika diselamatkan dalam operasi berkenaan pada Khamis.
Anggota polis memeriksa remaja Rohingya ketika diselamatkan dalam operasi berkenaan pada Khamis.
A
A
A

RAWANG - Lima orang remaja Rohingya berusia 15 hingga 17 tahun telah diselamatkan daripada terus menjadi buruh paksa bawah umur di sebuah kilang elektronik di Rawang di sini pada Khamis.

Difahamkan kelima-lima mangsa bekerja di kilang itu untuk tempoh dua hingga lapan bulan dengan dibayar gaji yang murah.

Pengurus syarikat iaitu seorang warga Jepun berusia 67 tahun turut ditahan dalam operasi oleh sepasukan polis daripada Bahagian (D3) Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Ketua Penolong Pengarah D3 JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, dua warga tempatan yang merupakan pengurus sumber manusia dan kerani akaun kilang masing-masing berusia 53 dan 55 tahun juga ditahan bagi membantu siasatan.

“Siasatan mendapati, kanak-kanak berkenaan merupakan pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan dibayar serendah RM51 sehari dengan cara bayaran gaji secara tunai setiap bulan,” katanya.

Beberapa pekerja kilang eletronik berkenaan diperiksa bagi mengesan pekerja bawah umur.
Beberapa pekerja kilang eletronik berkenaan diperiksa bagi mengesan pekerja bawah umur.

Menurutnya, polis telah merampas 13 keping kad perakam waktu dan dua helai jadual pembayaran gaji untuk siasatan lanjut.

“Seramai 165 pekerja membabitkan 46 warga tempatan dan 119 warga Myanmar telah diperiksa,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, syarikat yang beroperasi selama 21 jam sehari dengan pecahan dua syif terbabit telah beroperasi kira-kira tiga tahun lalu di bawah kendalian lelaki warga Jepun tersebut.

“Kesemua pekerja dan mangsa tinggal di rumah sendiri di Selayang dan datang ke kilang menaiki van yang disewa sendiri oleh mereka,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Seksyen 14 akta yang sama.