Rasuah ancaman kepada ekonomi negara

Budaya rasuah yang dipanggil under-table membolehkan peniaga menjalankan perniagaan mereka tanpa dikenakan sebarang tindakan daripada pihak berkuasa. Gambar kecil: Nazilah
Budaya rasuah yang dipanggil under-table membolehkan peniaga menjalankan perniagaan mereka tanpa dikenakan sebarang tindakan daripada pihak berkuasa. Gambar kecil: Nazilah
A
A
A

SHAH ALAM - Pembudayaan rasuah merupakan satu ancaman yang memberi kesan ketidakadilan terhadap pengagihan ekonomi negara.

Presiden Dewan Pembangunan Perniagaan Usahawan Malaysia (MDEC), Datuk Nazilah Idris berkata, dalam konteks perniagaan, budaya rasuah yang dipanggil under-table membolehkan peniaga menjalankan perniagaan mereka tanpa dikenakan sebarang tindakan daripada pihak berkuasa.

“Kita nampak hari-hari dekat jalan kenapa mereka (peniaga haram) boleh berniaga. Sebab dia hulur (rasuah).

“Perkataan under-table, hulur, penguat kuasa itu dibeli dan sebagainya sudah seperti biasa dalam norma budaya kita.

“Seolah-olah siapa yang tidak memberi rasuah itu merupakan orang yang tidak mengikuti perkembangan,” katanya.

Menurutnya, kegiatan rasuah itu menyebabkan gangguan kepada peniaga yang tidak mengamalkan rasuah dan sumber ekonomi mereka.

Dalam pada itu, Nazilah yang juga Pengerusi Sekretariat Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Selangor berkata, jika negara dikuasai oleh amalan rasuah ini, maka faktor keselamatan akan menjadi satu faktor yang ditakuti.

Katanya, penguatkuasaan juga perlu diperketatkan bagi mengembalikan kepercayaan rakyat kepada pihak berkuasa yang terlibat.

Artikel Berkaitan:

“Ini bukan soal politik, ini soal integriti individu tersebut. Sebab itu, rasuah itu bukan kita boleh tangani dengan penguat kuasa undang-undang tetapi kita kena ada modal insan.

“Maksudnya kita ada program membentuk insan yang berintegriti, beriman, serta tahu membezakan mana yang baik atau buruk,” katanya kepada Sinar Harian.