Bekas guru pernah jadi 'pakar dadah'

Raja Azizan Suhaimi
Raja Azizan Suhaimi
A
A
A

SHAH ALAM - [LAPORAN KHAS] Hampir 20 tahun bergelumang dengan dadah sehingga mengorbankan kerjaya hakiki sebagai seorang guru, malah turut disisihkan keluarga untuk satu tempoh yang lama.

Itu pengalaman yang pernah dilalui Raja Azizan Suhaimi Raja Abd Latiff, 60.

Mengimbas kembali detik-detik hitam silamnya, Raja Azizan yang juga digelar ‘pakar dadah’ itu memberitahu, beliau terjebak dengan najis dadah seawal usia 13 tahun.

Menurutnya, bermula dengan menghisap rokok, dia kemudian mencampurkan dadah ke dalam rokok sehingga akhirnya mengambil sepenuhnya bahan terlarang itu.

Raja Azizan (berdiri, kanan) ketika menyertai bengkel Recovery Anonymous.
Raja Azizan (berdiri, kanan) ketika menyertai bengkel Recovery Anonymous.

“Selepas memperoleh keputusan Lower Certificate of Education (LCE) yang cemerlang, saya berpindah ke sekolah lain untuk menyambung pelajaran dalam aliran sains.

“Ketika itu, pergaulan saya semakin luas dan mencuba dadah heroin pula. Lebih-lebih lagi harganya murah, hanya RM3 untuk satu botol kecil. Keadaan itu berterusan hingga saya tamat SPM,” katanya.

Raja Azizan berkata, beliau kemudian menyambung pelajaran ke Tingkatan Enam di sebuah sekolah di Cheras, Kuala Lumpur dan meneruskan pengajian di sebuah maktab perguruan di ibu kota.

Artikel Berkaitan:

“Saya tamat pengajian dengan cemerlang sehingga berjaya jadi guru di sebuah sekolah di Perak, namun pada masa sama saya masih terperangkap dengan kegiatan dadah.

“Saya kerap ulang alik dari Perak ke Kuala Lumpur semata-mata untuk ambil bekalan. Lama-kelamaan ia menjejaskan kerjaya saya sebagai seorang guru kerana kerap ponteng mengajar,” katanya.

Raja Azizan ketika mengadakan perbincangan untuk menganjurkan workshop Pensijilan Certified Recovery Coach untuk bekas pengguna dadah yang berkhidmat di Pusat Pemulihan Dadah Persendirian seluruh negara.
Raja Azizan ketika mengadakan perbincangan untuk menganjurkan workshop Pensijilan Certified Recovery Coach untuk bekas pengguna dadah yang berkhidmat di Pusat Pemulihan Dadah Persendirian seluruh negara.

Raja Azizan yang kini Setiausaha Agung Malaysian Substance Abuse Council berkata, ketika itu bapanya dan pihak sekolah masih memberikan peluang dengan menghantarnya ke program pemulihan di Besut, Terengganu.

Namun, katanya, dia memberontak dan membuat rusuhan bersama rakan-rakan di sana sehingga dihantar ke Penjara Pengkalan Chepa.

“Bagaimanapun, saya dibebaskan kerana tidak disabitkan kesalahan dan kembali ditempatkan di pusat pemulihan sama di Besut.

“Selepas keluar dari situ, saya malu untuk pulang ke kampung. Malah, sudah tidak boleh bertugas sebagai guru, jadi saya terus ke Kuala Lumpur. Bermulalah episod kehidupan saya dan dadah di Chow Kit.

“20 tahun saya hidup di Chow Kit kerana dadah, malah pelbagai kerja saya buat demi memastikan duit sentiasa ada untuk saya membeli bahan terlarang itu,” katanya.

Raja Azizan ketika menandatangani perjanjian persefahaman (Mou) dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Raja Azizan ketika menandatangani perjanjian persefahaman (Mou) dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Raja Azizan berkata, dalam tempoh tersebut, dia berkahwin dan mempunyai empat cahaya mata yang kini berusia antara 19 hingga 29 tahun.

Katanya, isterinya ketika itu (kini bekas isteri) mengetahui kegiatan haramnya tetapi tidak mampu berbuat apa-apa, malah pada tahun 1997 beliau ditangkap polis dan dimasukkan ke Pusat Serenti Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Raja Azizan berkata, dia akhirnya bertekad untuk berubah kerana tidak mahu lagi anak-anaknya menerima tempias dan menanggung malu akibat perbuatannya yang tidak serik-serik menagih dadah.

Selepas itu, katanya, dia mula terlibat sebagai sukarelawan dengan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy) pada tahun 2003 dan menjalankan program untuk memujuk penagih menjalani rawatan.

Raja Azizan (tengah) ketika pertemuan dengan Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang baharu.
Raja Azizan (tengah) ketika pertemuan dengan Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang baharu.