X

Kindly register in order to view this article
!

Habis zaman muda dalam penjara

Acik menjadikan kisah hidupnya sebagai pengajaran untuk membantu golongan penagih yang lain.
A
A

KUANTAN - [LAPORAN KHAS] “Saya hilang zaman muda apabila sering keluar masuk penjara dan pusat pemulihan dadah sepanjang tempoh 20 tahun sejak 1977 hingga 1997,” dedah Acik, 60 (bukan nama sebenar) tentang kehidupan silamnya.

Acik akui, hukuman penjara langsung tidak mengajarnya erti keinsafan ketika itu malah dia tidak pernah serik untuk mengambil dadah dan melakukan jenayah.

“Penjara mana saya tak pernah masuk, boleh dikatakan saya ini ‘alumni’ hampir semua penjara di negara ini.

“Penjara Kuantan (sebelum berpindah ke Penjara Penor), Penjara Pudu, Penjara Kajang, Penjara Sungai Buloh, semua dah masuk. Tak cukup penjara di negara ini, saya turut ‘tempah’ tiket masuk ke Penjara Changi, Singapura,” katanya.

Menurutnya, dia mula terlibat dengan jenayah apabila terjebak dalam kancah penagihan dadah selepas tamat persekolahan sekitar tahun 1977.

“Selepas tamat sekolah, saya terjebak dengan budak-budak liar dan mula mengambil bahan terlarang itu.

“Bila dah ketagih, payah nak berpatah balik. Bila terdesak tiada duit nak beli dadah, saya mula mencuri,” katanya.

Ditanya tentang penerimaan keluarga, anak jati Kuantan itu berkata, keluarga tidak pernah menolak atau membuangnya.

“Tetapi saya sendiri yang menyisihkan diri kerana ada rasa malu dan takut,” katanya.

Acik berkata, selepas 20 tahun, hatinya terbuka untuk berubah selepas berjumpa dengan rakan yang telah insaf.

“Ketika dibebaskan dari penjara pada tahun 1997, saya mula keluar cari kawan untuk ambil ‘barang’ bagi melepaskan gian.

“Masa itulah ALLAH temukan saya dengan bekas rakan seangkatan yang sudah insaf.

“Mereka ajak saya menyertai sebuah NGO membantu golongan penagih,” katanya.

Selepas hampir dua tahun bersama NGO itu, Acik bertemu jodoh dengan pasangan hidupnya.

“Kini masa saya untuk keluarga, menambahkan amal ibadat dan menabur bakti membantu golongan senasib sebagai jariah,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!