Di sebalik tumpasnya 150 penjenayah

Ali Batcha mencipta banyak kejayaan ketika mengetuai Unit Tindak Cepat PDRM.
Ali Batcha mencipta banyak kejayaan ketika mengetuai Unit Tindak Cepat PDRM.
A
A
A

SERAMAI 150 penjenayah mati ditembak dan 18 individu diberkas dalam beberapa siri pertempuran dengan Unit Tindak Cepat (UTC) yang diketuai oleh bekas polis, Asisten Superintendan Md Ali Amir Batcha.

Md Ali yang lebih mesra dengan panggilan Ali Batcha berkata, pasukan UTC itu ditugaskan untuk mengumpul maklumat, merisik, mengesan kegiatan penjenayah bersenjata api dan menumpaskan mereka dalam operasi khas.

“Operasi khas itu didaftarkan secara rasmi di bawah fail-fail sulit berstatus ‘rahsia besar’,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Subang, Selangor baru-baru ini.

Ali Batcha, 67, berkata, beliau mengetuai 44 kali operasi bersama UTC Johor dan lima kali dengan UTC Selangor. Pasukan tersebut berjaya merampas 120 senjata api termasuk M16 dan pump gun serta enam butir bom tangan.

Beliau berkata, penubuhan UTC adalah hasil perbincangan dengan Officer in Charge (OC) Team A, Paramasivam untuk mengusulkan cadangan penubuhan pasukan itu kepada Ketua Polis Daerah Johor Bahru, Datuk Abd Hameed Mustaffah pada 1988.

“Kita bekerja dalam satu pasukan kecil, masing-masing ada peranan.

“Tugas kita adalah memantau suspek yang telah dikenal pasti berdasarkan maklumat yang disampaikan oleh pemberi maklumat yang didaftarkan secara rasmi, sebelum operasi khas dilaksanakan,” cerita beliau.

Artikel Berkaitan:

Ali Batcha (dua dari kanan) dikunjungi para penggiat seni sebuah produksi. - FOTO ROSLI TALIB
Ali Batcha (dua dari kanan) dikunjungi para penggiat seni sebuah produksi. - FOTO ROSLI TALIB

Menurutnya, Abd Hameed dan Bahagian Siasatan Jenayah Bukit Aman telah bersetuju dengan cadangan penubuhan UTC.

“Selepas itu, tugas saya semakin mencabar dan berbahaya kerana perlu mendampingi kumpulan penjenayah,” katanya.

Geng Sidi Misai Melenting

Ali Batcha berkata, beliau perlu melakukan penyamaran sebagai penjenayah bagi melaksanakan tugas tersebut.

“Saya tidak boleh membawa sebarang tanda atau dokumen pengenalan diri seperti kad kuasa yang menunjukkan saya ada kaitan dengan polis termasuk senjata api milik Polis Diraja Malaysia (PDRM),” ujarnya.

Kata beliau, pengalaman yang tidak boleh dilupakan adalah penyamarannya dalam kumpulan penjenayah diketuai oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Sidi Misai Melenting’

“Saya perlu berpura-pura berbuat baik dengan Sidi untuk mendapatkan kepercayaannya terhadap saya.

“Setelah mendapatkan kepercayaannya, barulah saya diperkenalkan dengan lebih ramai rakan sejenayahnya di sekitar Johor Bahru,” katanya.

Ali Batcha berkata, beliau pernah menyaksikan peristiwa ngeri apabila salah seorang ahli kumpulan itu dipukul beramai-ramai sebelum dibakar hidup-hidup kerana mencuri wang hasil rompakan.

“Kumpulan penjenayah ini sangat kejam dan berbahaya. Sidi juga telah mendedahkan banyak kes lain yang dilakukan oleh kumpulan itu

“Ada mangsa yang dibunuh, kemudian mayatnya ditanam atau dibuang begitu sahaja di dalam belukar,” kata Ali Batcha.

Beliau berkata, banyak maklumat yang diperoleh telah disalurkan kepada OC Team A.

“Banyak kes lama yang tertangguh sebelum ini berjaya diselesaikan,” beritahu beliau.

Menurutnya, Sidi merasakan kumpulannya hebat kerana masih belum dapat dikesan oleh pihak polis.

Ali Batcha berkata, beliau segera menghubungi OC Team A dan anggota penggempur bersama anggota peninjau setelah mendapat maklumat berkaitan rompakan yang akan dilakukan oleh kumpulan penjenayah itu.

“Akhirnya waktu yang ditunggu-tunggu tiba. Saya bersama pasukan UTC bertempur dengan kumpulan penjenayah itu dalam Ops Sumbawa,” katanya.

Ali Batcha berkata, kereta yang dinaikinya cuba memintas dan menghimpit kereta kumpulan penjenayah terbabit.

“Kami menyerbu ke arah kenderaan itu untuk menangkap penjenayah, namun mereka melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan UTC,” katanya.

Tembak penjenayah

Menurut Ali Batcha, beliau ternampak Sidi berlari keluar dari kereta menuju ke arah jejambat, kemudian terjun ke bawah.

“Dia terjatuh dan kakinya cedera, Sidi yang bersenjatakan sepucuk pistol cuba melarikan diri mengikut jalan kereta api.

“Saya berjaya mengejar Sidi dan memintanya meletakkan pistol serta menyerah diri,” katanya.

Ali Batcha berkata, Sidi berpaling dan terkejut melihatnya, kemudian dia mengacukan pistol serta melepaskan tembakan.

“Saya segera melepaskan tembakan balas dan mengenainya. Dia rebah dan mati di lokasi kejadian,” katanya.

Pelbagai jenis senjata berjaya dirampas.
Pelbagai jenis senjata berjaya dirampas.

Ali Batcha berpendapat tindakan sesetengah badan bukan kerajaan (NGO) mempertikaikan langkah pihak polis melepas tembakan adalah disebabkan mereka tidak faham prosedur operasi standard (SOP) polis ketika dalam operasi,” katanya.

Beliau berkata, NGO itu tidak terlibat dalam operasi, oleh itu mereka tidak faham berhubung SOP tersebut.

“Insiden itu pasti akan bermula dengan pertempuran, sama ada anggota polis ditembak atau penjenayah yang tumbang,” katanya.

Menurutnya, anggota polis perlu lebih berhati-hati apabila berhadapan dengan penjenayah bersenjata.

“Penjenayah bersenjata itu mungkin nekad menyerang anggota polis. Ada kes anggota polis telah cedera diserang penjenayah.

“Kes sedemikian menjadi satu pengajaran bagi anggota polis di Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah yang seringkali terdedah kepada bahaya apabila terlibat dengan operasi," katanya.

Ali Batcha berasa kecewa apabila ada NGO atau individu mengkritik anggota polis melakukan tugasan khususnya dalam melaksanakan sesuatu operasi.

“Saya tidak boleh terima jika ada individu atau NGO mengkritik anggota polis melaksanakan operasi.

“Saya yang mengetuai pasukan UTC pernah terlibat dalam 49 pertempuran dengan penjenayah, dan seramai tiga anggota polis telah cedera,” katanya.

Kaki kipas

Menyentuh mengenai isu rasuah, Ali Batcha berkata, rasuah tidak boleh dibanteras dengan sekadar menguatkuasakan hukuman lebih berat.

“Rasuah juga boleh berlaku selagi budaya ‘kipas’ dan ‘petik’ diterima pakai dalam sesebuah organisasi atau di tempat kerja,” katanya.

Ali Batcha - FOTO ROSLI TALIB
Ali Batcha - FOTO ROSLI TALIB

Beliau berkata, ada individu bersikap ikhlas dan jujur dalam melaksanakan sesuatu kerja, namun menjadi mangsa keadaan kerana disebabkan persekitarannya iaitu rakan-rakan lain yang menerima rasuah.

“Individu kaki ‘kipas’ dan ‘petik’ terdedah kepada rasuah kerana mengejar pangkat, wang dan harta. Sikap mereka boleh menjatuhkan individu yang bersikap ikhlas dan jujur dalam pekerjaan,” katanya.

Ali Batcha kini dalam perbincangan bersama penerbit sebuah syarikat produksi untuk menghasilkan beberapa drama pendek bersiri kepolisan berdasarkan kisahnya di laman YouTube.

Timba pengalaman ilmu hutan

Ali Batcha mengimbau kembali detik beliau mula berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Selepas lulus Sijil Pelajaran Malaysia, saya telah memohon untuk menyertai pasukan polis, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen.

“Saya menerima panggilan untuk menghadiri temu duga dengan pasukan polis, sebelum menjalani latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur pada Julai 1979,” katanya.

Menurut Ali Batcha, beliau kemudian dihantar menjalani latihan Kursus Asas Peperangan di Hutan di Sekolah Latihan Pasukan Polis Hutan Ulu Kinta, Perak.

“Saya turut menjalani kursus pegawai kanan polis di Maktab Polis Diraja Malaysia di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor,” katanya.

Ali Batcha berkata, selepas tamat semua kursus itu, beliau ditugaskan sebagai Komander Platun bagi Platun 3 Kompeni A.

“Selepas itu, saya menjadi Komander Platun 5 Kompeni B Batalion 2 Pasukan Polis Hutan Bridged Utara Ulu Kinta selama lima tahun (1980-1985),” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu pengalaman yang tidak boleh dilupakan adalah ditugaskan berada di dalam hutan selama setengah tahun.

“Kebiasaan anggota dan pegawai yang terlibat dalam operasi di dalam hutan adalah dalam tempoh sebulan atau dua bulan, namun saya ditugaskan berada di dalam hutan selama enam bulan,” katanya.

Ali Batcha berkata, pasukan itu terlibat dalam operasi yang dianggap sukar di Banjaran Titiwangsa sekitar sempadan Kelantan dan Perak.

“Kami terlibat dalam operasi ronda jarak jauh iaitu mengesan dan ‘mengacau’ pergerakan komunis, oleh itu kami meronda di dalam hutan setiap hari,” cerita beliau.

Ali Batcha pernah berkhidmat bersama Pasukan Polis Hutan.
Ali Batcha pernah berkhidmat bersama Pasukan Polis Hutan.

Ali Batcha berkata, beliau kemudian ditukarkan ke Batalion 3 Pasukan Polis Hutan Jalan Lapangan Terbang Ipoh sebagai Komander Platun merangkap ‘Second in Charge’ Kompeni A selama setahun enam bulan.

“Sepanjang bertugas sebagai pegawai Pasukan Polis Hutan, saya sering dihantar berkursus untuk menimba pengalaman,” katanya.

Ali Batcha berkata, beliau kemudian ditukarkan ke Cawangan Siasatan Jenayah di Johor Bahru pada 1987.

“Saya ditugaskan sebagai pegawai penyiasat, jadi cara kerja pun berubah iaitu menyiasat serta menyiapkan kertas siasatan kes jenayah di bandar berbanding sebelum ini saya terlibat dalam operasi di hutan,” katanya.

Beliau berkata, tugas pegawai penyiasat memang mencabar mental kerana terpaksa memikul beban kerja yang banyak.

“Kadar kes jenayah di daerah Johor Bahru ketika itu tinggi. Setiap hari saya perlu membuka kertas siasatan sebanyak empat atau lima kes,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai kes pernah dikendalikan beliau antaranya kes samun bersenjata api, rogol, samun kedai emas dan bunuh yang dilakukan oleh beberapa kumpulan penjenayah.

“Selain kes jenayah berat, beberapa kes lain seperti pecah rumah serta pergaduhan gengster atau kongsi gelap turut berlaku,” katanya.

Kongsi gelap

Ali Batcha berkata, tujuan kumpulan kongsi gelap menarik ramai remaja menjadi ahli adalah bagi menambah jumlah pengikut agar kumpulan mereka menjadi ‘hebat’.

“Apa yang kongsi gelap boleh bantu golongan anak muda? Mereka hanya sekadar ‘gebang’ nak tunjuk hebat,” katanya ketika mengulas mengenai penglibatan golongan remaja menjadi sasaran gengster atau kongsi gelap untuk direkrut menyertai kumpulan itu bagi menjalankan aktiviti jenayah termasuk pengedaran dadah.

Beliau berkata, pembabitan golongan remaja dalam kegiatan kongsi gelap banyak didorong oleh perasaan mahu dipandang tinggi serta digeruni oleh rakan sebaya.

“Sebenarnya, jika kamu masuk kongsi gelap maka kamu adalah seorang yang penakut. Orang yang hebat tidak perlu terlibat dalam kongsi gelap,” katanya.

Beliau berkata, geng kongsi gelap yang gah dengan ‘kehebatan’, namun apabila ditahan polis, ahli geng itu pasti akan menjadi ‘lembik’.

“Mereka cakap sahaja hebat, taasub terhadap prinsip geng, sanggup langgar undang-undang, namun akhirnya kegiatan mereka berjaya ditumpaskan oleh pihak berkuasa,” katanya.