Sedap digaru, maka melompatlah

A
A
A

ORANG politik kadang-kadang apabila bercakap seperti meludah ke langit. Air liur tetap jatuh ke muka sendiri. Macam mana kita hendak percaya kalau cakap tak serupa bikin.

Marah kepada orang lain yang melompat parti seperti katak tetapi tiada inisiatif melakukan sesuatu. Walaupun ada dengar desas-desus sebelum ini hendak buat akta itu dan ini tetapi nampaknya seperti tidak bersungguh.

Mungkin mereka berasakan itu peluang. Agak-agak apabila hendak kalah sahaja, maka ditawarkan kepada ahli politik parti lain untuk menyokong mereka dan apabila cukup majoriti, seperti biasa diambil alih sebagai kerajaan pintu belakang.

Baru-baru ini ada juga yang bercakap di akhbar supaya melakukan sesuatu tetapi seperti tidak bersunguh-sungguh. Kenyataan diberi hanya untuk mencari sokongan rakyat. Bak kata pepatah Melayu lama kita, sungguh berjanggut, tiada berjubah. Kalau tidak, mesti menjangkau sehabis tangan untuk melakukan perubahan.

Maka cerita ini seperti biasa akan berulang-ulang lagi pada masa hadapan. Lagipun sekarang, demokrasi hanya cakap-cakap sebagai pemanis mulut untuk mendapat soko-ngan. Hakikatnya semua orang tahu.

Bercakap tentang lompat melompat yang kebiasaan dilakukan katak, amat banyak pepatahnya. Salah satunya yang mungkin boleh dibuat kajian iaitu takkan ada katak beranakkan ular.

Agaknya begitulah orang politik. Kenyataan diberi untuk marahkan kejadian melompat ini hanya untuk menunjukkan bahawa mereka kononnya tidak bersetuju tetapi hakikatnya seperti pepatah di atas, yang bermaksud orang yang pengecut takkan menjadi orang yang berani.

Pengecut di sini mungkin bermaksud takut kehilangan kuasa, pendapatan, kekayaan dan bermacam faedah lagi. Yang merana kita juga rakyat yang terpaksa angguk-angguk sahaja kepada sesiapa pun yang berkuasa nanti.

Artikel Berkaitan:

Yang lebih parah lagi apabila dikatakan melompat bukan sekadar melompat tetapi ada habuannya. Memang sudah dapat diagak, tidak ada orang akan melompat percuma sekadar mengeluarkan peluh dan untuk sihat kalau tidak ada habuannya.

Kalau sekadar melompat kononnya demi kita rakyat jelata, tidak boleh percaya juga sebab melompatnya jatuh berjolok. Kita rakyat jelata tidaklah bodoh seperti disangka oleh orang-orang politik ini.

Namun, apakan daya, kita sekadar mengeluh sahaja. Hendak dikatakan kuasa mengundi kita yang akan menentukan siapa berkuasa sekarang, sudah tidak boleh dipakai lagi.

Memilih

Kita sekadar memilih. Dengan aktiviti melompat ini, sekelip mata sahaja apa yang kita pilih akan bubar diganti dengan mereka yang kegemarannya suka melompat dan gila kuasa.

Berbalik kepada habuan yang diberi, katanya mungkin melibatkan duit dan jawatan besar. Sebab itu, mereka akan sanggup menggadaikan prinsip dan apa sahaja sumpah setia untuk rakyat.

Kalau begitu caranya, kempen rasuah yang sedang giat kita jalankan sudah seperti daun keladi dimandikan. Tiada berguna jika pemimpin sendiri seperti birah dengan keladi.

Dan lebih parah, seolah-olah sudah menjadi cara sah untuk menerima habuan, kemudian melompat. Habuan bukan biasa-biasa. Mungkin berjuta-juta juga agaknya. Setelah berjaya menjadi orang besar, perbelanjaan semua ditanggung. Rakyat pula berkuah air mata.

Sudah sampai masanya aktiviti lompat-melompat dibendung. Tawaran habuan dan jawatan untuk yang melompat juga perlu dibendung dan disiasat.

Benda bukan baru berlaku, mungkin sudah bertahun-tahun tiada siapa yang tahu. Kalau tahu pun, bak kata pepatah orang putih dalam bahasa Melayu, ‘kau garu belakang aku, aku garu belakang kau’.

Cuma kebelakangan ini sahaja makin kerap berlaku. Dan akan datang, mungkin akan berlaku lagi. Parti-parti politik banyak ditubuhkan, mereka hanya menunggu untuk digaru belakangnya. Sedap digaru, maka melompatlah ke belah yang menggaru.

Tetapi orang-orang politik sebenarnya tidak bimbang. Mereka mungkin sudah bersedia dengan perancangan supaya tidak dapat dikesan berlakunya aktiviti tidak bermoral itu.

Mereka sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan. Antaranya, buat sahaja yayasan untuk terima duit yang kononnya memberi bantuan itu dan ini. Apa yang susah sangatkan?

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com