Vaksin Covid-19 jadi senjata diplomasi

Gambar fail menunjukkan seorang pekerja sedang menguji vaksin Covid-19 keluaran syarikat Sinovac di Beijing. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan seorang pekerja sedang menguji vaksin Covid-19 keluaran syarikat Sinovac di Beijing. - Foto AFP
A
A
A

VAKSIN bagi membendung penularan pandemik Covid-19 bukan hanya boleh memberi perlindungan kesihatan tetapi juga boleh digunakan oleh negara-negara pengeluarnya bagi memperluaskan pengaruh masing-masing di dunia.

Ia yang kini dianggap sebagai 'bahan komoditi paling berharga' adalah umpama mata wang yang penting dalam perjuangan untuk memperoleh pengaruh global dan dalam dunia diplomasi antarabangsa.

Tiga buah negara iaitu China, Rusia dan India kini mendapat perhatian kerana sanggup mengedarkan bekalan vaksin Covid-19 kepada negara-negara yang miskin di dunia bagi membendung penularan Covid-19.

Situasi itu berlaku ketika Amerika Syarikat (AS) menghasilkan vaksin tersebut dan digunakan untuk rakyatnya sendiri manakala Kesatuan Eropah (EU) mengalami masalah isu tentang penerimaan bekalannya.

China pula telah membekalkan vaksin buatannya kepada beberapa buah negara, kadangkala disumbangkan secara percuma.

Algeria, Senegal, Sierra Leone dan Zimbabwe masing-masing dilaporkan menerima kira-kira 200,000 dos vaksin Covid-19 dari Beijing manakala 500,000 lagi dihantar ke Pakistan selain 750,000 dos lagi untuk Republik Dominica.

"China berusaha untuk menggambarkan dirinya sebagai juara untuk negara-negara selatan ketika negara-negara utara menunjukkan kepentingannya sendiri," kata Bertrand Badie iaitu seorang profesor untuk kajian hubungan antarabangsa di Universiti Sains-Po, Paris, Perancis kepada AFP.

Tambahnya, Presiden Rusia, Vladimir Putin mempunyai hasrat yang 'keterlaluan' untuk mewujudkan semula kuasa negara itu yang sebelum ini dikenali sebagai empayar Kesatuan Soviet.

Artikel Berkaitan:

Pada Disember 2019, Covid-19 didakwa ditemui di sebuah pasar hidupan liar di bandar raya Wuhan, China dan kelawar dikatakan menjadi pembawa virus itu sebelum menjangkiti manusia sebelum ia merebak hampir ke seluruh dunia.

Seorang pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Peter Ben Enbarek pernah memberitahu bahawa pasukannya yang melakukan siasatan di Wuhan bagi mengetahui sumber asal pandemik Covid-19 menyatakan virus tersebut mungkin berasal dari kelawar.

Bagaimanapun, ujarnya baru-baru ini, pasukan WHO itu mendapati ia kemungkinan besar bukan berasal dari Wuhan dan pihaknya juga mendapati teori bahawa virus tersebut merebak dari sebuah makmal di bandar raya berkenaan juga adalah tidak benar.

Setakat ini lebih 2.5 juta penduduk dunia meninggal dunia akibat Covid-19 dengan kesnya telah mencecah lebih 116 juta sehingga Jumaat lalu.

Dalam pada itu, Rusia menghasilkan vaksinnya, Sputnik V, dinamakan sempena nama satelit pertama dilancarkan ke angkasa lepas oleh Kesatuan Rusia yang kini dikenali sebagai Rusia.

Vaksin itu pernah dipersendakan di Eropah tetapi memperoleh penilaian yang berwibawa dan positif daripada majalah perubatan, The Lancet.

Vaksin Covid-19 keluaran Rusia, Sputnik V menjadi pilihan Hungary, Slovakia dan Republik Czech untuk digunakan oleh rakyat di negara-negara tersebut. - Foto AFP
Vaksin Covid-19 keluaran Rusia, Sputnik V menjadi pilihan Hungary, Slovakia dan Republik Czech untuk digunakan oleh rakyat di negara-negara tersebut. - Foto AFP

Tiga buah negara iaitu Hungary, Slovakia dan Republik Czech memilih untuk menggunakan vaksin Sputnik V itu tanpa mendapat kelulusan daripada Agensi Perubatan Eropah (EMA) terlebih dahulu.

Pemilihan vaksin dari Rusia itu dibuat ketika EU menghadapi masalah terpaksa menunggu terlalu lama bagi mendapatkan bekalan vaksin untuk digunakan oleh negara-negara anggotanya.

Menurut sebuah yayasan penyelidikan politik Jerman iaitu SWP, China mahu dilihat sebagai sebuah kuasa besar yang bertanggungjawab di peringkat antarabangsa menyebabkan ia terlibat dalam memberi bantuan bagi membendung penularan Covid-19.

India yang merupakan negara pengeluar vaksin Covid-19 terbesar di dunia telah membekalkan sejumlah dos vaksin itu ke negara-negara jirannya termasuk Nepal, Bangladesh dan Sri Lanka.

Menurut portal Economic Times, India menghantarnya ke Nepal iaitu sebuah negara yang berada di bawah pengaruh China manakala New Delhi terlibat dalam perbalahan diplomatik dengan Beijing mengenai Sri Lanka.

Pada Khamis lalu, Zimbabwe menjadi negara pertama di Afrika meluluskan penggunaan dan membeli vaksin Covid-19 buatan India iaitu Covaxin yang dihasilkan oleh syarikat Bharat Biotech yang penggunaannya telah diluluskan di negara Asia Selatan itu.

Menurut AFP, negara-negara kecil seperti Israel dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga menggunakan vaksin Covid-19 sebagai 'senjata' diplomatik apabila Tel Aviv telah membekalkan sejumlah kecil dos vaksin kepada Republik Czech yang merancang untuk membuka pejabat diplomatiknya di Baitulmuqaddis.

UAE pula menyumbangkan sejumlah kecil dos vaksin kepada Gaza iaitu sebuah wilayah Palestin yang berada dalam pendudukan Israel dan disumbangkan untuk Tunisia.

Justeru, kata sebuah pertubuhan penyelidikan, Pusat Soufan yang diasaskan pada tahun 2017 oleh seorang bekas ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Ali Soufan, memperoleh vaksin Covid-19 untuk berbilion-bilion penduduk dunia kini menjadi cabaran terbesar untuk komuniti antarabangsa dan merupakan perlumbaan baharu 'senjata'. - Agensi