Kedah tangani isu ceroboh tapak warisan

Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kerajaan Kedah sedang berusaha menangani isu pencerobohan tapak warisan Tamadun Awal Asia Tenggara Sungai Batu membabitkan kira-kira 29 hektar tanah milik kerajaan.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kebanyakan penghuni yang terlibat membabitkan golongan kurang berkemampuan serta tidak boleh berpindah serta-merta.

Menurutnya, melalui perbincangan tahun lalu, beliau telah meminta Pegawai Daerah Kuala Muda mencari jalan supaya sebahagian tanah dapat diberikan kepada keluarga yang benar-benar miskin dan tidak memiliki tapak rumah untuk didiami secara sah.

"Kerja-kerja mengatur lot tapak rumah sedang diusahakan seluas kira-kira 278.7 meter persegi untuk dibahagikan kepada setiap keluarga miskin dengan syarat masih belum memiliki rumah dan tanah.

"Membantu keluarga miskin memiliki tapak rumah untuk didiami bersama anak isteri mereka secara sah sama pentingnya dengan usaha menggali sejarah dan tamadun bangsa," katanya menerusi satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi mengulas laporan media sosial yang tular mengenai pembinaan jalan kampung yang didakwa diluluskan Muhammad Sanusi telah mengganggu kerja-kerja ekskavasi di tapak terbabit.

Muhammad Sanusi berkata, beliau juga telah mengarahkan perbincangan segera antara Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN), Pejabat Daerah Kuala Muda, Jabatan Warisan Negara dan pasukan pengkaji sejarah, Datuk Dr Mokhtar Saidin untuk menyelesaikan isu sempadan dan guna tanah di sekitar kawasan tapak sejarah Sungai Batu, Merbok.

Menurutnya, tahun lalu semua pihak sudah mengadakan perbincangan dan rundingan di tapak tersebut yang dikendalikan oleh Pengarah BPEN, Mahazi Ibrahim tetapi penyelesaian belum dapat dimuktamadkan.

Artikel Berkaitan:

"Tapak sejarah yang menyimpan jutaan artifak dan lambang keagungan kerajaan Kedah patut dilindungi, diteroka dan dimajukan sebagai sumber ilmu dan keagungan bangsa kita. Proses ini tidak mudah dan memakan masa. Aspek perundangan dan pembiayaan perlu diuruskan melibatkan pelbagai pihak dan agensi yang berkaitan.

"Saya yakin Sungai Batu akan dapat diangkat menjadi tapak warisan dunia yang sangat berharga untuk kita semua warga dunia," katanya.