DAP pandang serius dakwaan ‘potong barisan’ vaksin

DAP
DAP
A
A
A

SHAH ALAM - DAP memandang serius dakwaan ‘potong barisan’ dalam proses pemberian vaksin fasa pertama dan mahu keutamaan diberikan kepada petugas barisan hadapan.

Parti itu dalam kenyataan pada Jumaat mahu kerajaan bersikap telus dalam menangani isu tersebut dan mendedahkan pihak yang terlibat.

"Kami amat mengalu-alukan seruan daripada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar supaya pemberi maklumat tampil memaklumkan perkara itu dan mahu kerajaan mendedahkan pihak yang dibuktikan terlibat dengan kejadian 'potong barisan' untuk diberikan pengajaran kepada yang lain.

“la penting bahawa dakwaan ini tidak dibiarkan tanpa sebarang tindakan untuk menjamin keyakinan dan kepercayaan rakyat serta memastikan terdapat kesaksamaan vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” menurut kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen; Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Dalam pada itu, DAP turut menggesa kerajaan memperincikan secara spesifik kumpulan yang bakal menerima suntikan vaksin untuk fasa kedua program imunisasi tersebut bagi mengurangkan kekeliruan dan memastikan ia berjalan lancar.

“Sebelum ini kerajaan menyasarkan kira-kira 9.4 juta orang berusia lebih 60 tahun dan mereka yang mempunyai komorbiditi yang menghidap penyakit kronik dan berisiko tinggi mendapat gejala yang serius dari Covid-19.

“Bagaimanapun, komunikasi dan koordinasi dengan pihak berkepentingan, pakar perubatan, klinik masyarakat dan rumah jagaan juga haruslah dipertingkatkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah DAP, pihak kementerian juga harus melakarkan satu kerangka kerjasama yang komprehensif antara pihak awam dan pihak swasta untuk bersama-sama menjayakan program imunisasi berkenaan termasuklah penerangan yang efektif.

Menurutnya, komunikasi multi modal perlu dilaksanakan bagi memastikan setiap komuniti diberikan maklumat yang betul berdasarkan sains dan fakta berkenaan vaksin tersebut.

“DAP juga akan memberi kerjasama dan menggembleng tenaga semua wakil rakyat kami untuk membantu dalam komunikasi strategik tentang manfaat vaksin Covid-19,” katanya.

Dalam perkembangan sama, DAP turut menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sehingga lebih 70 peratus rakyat menerima vaksin Covid-19.

“Keselamatan dan kesejahteraan rakyat harus diutamakan di atas sebarang kepentingan politik,” katanya.