X

Kindly register in order to view this article
!

Kerangka kerja khas CLQ akan dikeluarkan kerajaan

M Saravanan
A
A

KLANG - Kerajaan akan mengeluarkan kerangka kerja khas bagi pembinaan Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) kepada pihak pemaju dalam memenuhi spesifikasi dan piawaian selaras Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 yang diwartakan pada 17 Februari lalu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, antara aspek yang bakal ditambah baik dalam rangka kerja yang akan diwujudkan dalam masa terdekat itu antaranya adalah penggunaan dinding kalis api sebagai ciri keselamatan tambahan dan mewajibkan penggunaan almari berkunci khususnya kepada pekerja asing.

Katanya, dengan adanya kerangka tersebut, ia mampu dijadikan rujukan syarikat pemaju bagi membina CLQ yang mempunyai ciri keselamatan tambahan bagi keselesaan pekerja yang menginap di pusat berkenaan.

“Ini antara ciri baharu dan saya akan minta Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Asri Ab Rahman untuk dimasukkan dalam kerangka kerja pembinaan CLQ pada masa akan datang.

“Ramai (pemaju) yang mungkin nak bina CLQ, ia adalah langkah yang baik dan sihat. Tapi pada masa yang sama kita tidak mahu terlalu banyak CLQ jadi kita akan keluarkan blueprint (kerangka kerja khas) mengikut jumlah pekerja sedia ada dan keperluan mengikut negeri,” katanya selepas melancarkan Pembinaan CLQ Zon Klang dan Shah Alam, di sini pada Jumaat.

CLQ di zon Klang dan Shah Alam akan didirikan di Meru, Klang seluas 40.4 hektar yang akan mampu menempatkan sehingga 30,000 pekerja pada satu-satu masa dengan keutamaan diberikan kepada sektor pembinaan dan pengilangan.

CLQ yang dibina oleh dua pemaju swasta itu akan dilaksanakan secara lima fasa menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) iaitu fasa pertama pusat tersebut akan disiapkan dalam masa enam bulan dari sekarang.

Dalam perkembangan lain, Saravanan berkata, kementeriannya akan memberi kelonggaran penguatkuasaan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) kepada sektor pelancongan yang kini tidak mampu beroperasi kerana Covid-19 dan sekatan perintah kawalan yang dijalankan di seluruh negara pada masa ini.

Namun jelasnya, majikan khususnya perlu melaporkan kepada JTK terlebih dahulu bahawa mereka tidak mampu melaksanakan Akta 446 mengikut apa yang digariskan dan membentangkan pelan tindakan kepada jabatan tersebut. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!