X

Kindly register in order to view this article
!

Berhenti buat kenyataan singgung pihak lain

Fairuz
A
A

KOTA KINABALU - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Sabah meminta semua pihak berhenti membuat sebarang kenyataan yang akan menyinggung perasaan pihak lain.

Ketuanya, Fairuz Renddan berkata, situasi ketika ini menjadikan masing-masing mahu mencurah perasaan dengan memburukkan pihak lain.

"Dari sudut mana Bersatu di Sabah mengkhianati UMNO sehinggakan mereka terpaksa berlapang dada kerana mahu memperbaiki kerosakan yang dibuat oleh kerajaan terdahulu.

"Saya pernah menegur supaya siasat sebelum bercakap, berfikir sebelum mengeluarkan kenyataan, bukannya emosi membuta tuli," katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat sebagai membalas kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain.

Tambahnya lagi, tidak wajar ada pihak dalam GRS merosakkan penyatuan dalam kerajaan.

"Jika pihak tertinggi dalam UMNO telah memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dan rakan-rakan lain dalam Perikatan Nasional (PN) pada masa akan datang, tidak mengapa.

"Di Sabah, selagi GRS mentadbir Sabah melibatkan Bersatu dan UMNO, maka saya rasa tidak wajar Abdul Aziz menjadi duri yang terus menusuk dan merosakkan penyatuan GRS," katanya.

Fairuz dalam pada itu turut menasihatkan Abdul Aziz berhenti berpolitik dan bersama-sama membantu usaha kerajaan GRS membendung pandemik Covid-19 di Sabah.

"Lebih baik sama-sama bantu usaha kerajaan GRS, namun jika tidak mampu atau tidak mahu, berdiam diri lebih baik daripada bising tidak bertempat," katanya.

Abdul Aziz sebelum ini menyatakan UMNO Sabah akan meneruskan perjuangan menunaikan janji menyelamatkan negeri ini daripada kerosakan yang dilakukan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pakatan Harapan (PH).

Beliau tidak mahu hasrat untuk memperbaiki kerosakan tersebut gagal hanya kerana sakit hati dikhianati oleh Bersatu dan mahu semua pihak menjaga GRS walau apa pun yang berlaku di peringkat nasional selagi Bersatu tidak mengkhianati UMNO sekali lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO Sabah teruskan perjuangan di bawah GRS


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!