X

Kindly register in order to view this article
!

Penantian warga emas miliki Mykad baharu berakhir

Leong Choong Keong kali pertama memiliki kad pengenalan pada 1968 ketika berusia 12 tahun dan masih memegang Kad Pengenalan Plastik (KPP) (gantian semasa berusia 18 tahun) sehingga sekarang.
A
A

KUALA LUMPUR - Penantian seorang warga emas berusia 65 tahun untuk memiliki MyKad baharu berakhir pada Jumaat apabila menerima sendiri dokumen pengenalan diri itu daripada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Ruslin Jusoh menerusi program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar).

Leong Choong Keong yang tinggal di PPR Salak Selatan, di sini kali pertama memiliki kad pengenalan pada 1968 ketika berusia 12 tahun dan masih memegang Kad Pengenalan Plastik (KPP) (gantian semasa berusia 18 tahun) sehingga sekarang.

JPN dalam kenyataan memaklumkan keadaan tersebut menyebabkan beliau tidak dapat memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat serta kemudahan-kemudahan lain yang disediakan Kerajaan.

"Ekoran kisah kesulitan Leong Choong Keong yang tular di media sosial, JPN Putrajaya melalui Unit Mobile telah mengambil tindakan segera untuk membantu dengan membuat semakan rekod beliau dan seterusnya membuat gantian MyKad tanpa perlu beliau hadir ke kaunter JPN," menurut JPN.

Program Mekar merupakan program turun padang JPN bagi urusan pengeluaran dokumen pengenalan diri seperti MyKad dan sijil kelahiran kepada golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas, pesakit terlantar dan mereka yang tinggal di pedalaman.

Inisiatif itu merupakan pendekatan produktif JPN dalam memastikan setiap penduduk di Malaysia yang layak, dikeluarkan dokumen pengenalan diri yang sah dan sekali gus membolehkan mereka menikmati pelbagai kemudahan yang ditawarkan Kerajaan.

JPN turut memaklumkan program itu telah membawa impak positif apabila sehingga 31 Disember tahun lepas, sebanyak 680 program telah dijalankan dengan lebih 12,206 permohonan diterima serta 1,293 khidmat nasihat telah diberikan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!