Dua sahabat lemas ketika mandi sungai

Mayat kedua-kedua mangsa telah diserahkan kepada polis.
Mayat kedua-kedua mangsa telah diserahkan kepada polis.
A
A
A

DUNGUN - Kegembiraan lima sahabat berkhemah di Sungai Dungun berhampiran Kampung Minda, Jerangau, di sini bertukar tragedi, apabila dua daripada mereka ditemui lemas pada Jumaat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Zulhusni Abdul Rahman berkata, mangsa Mohd Subree Ahmad Tajuddin, 38, yang berasal dari Sungai Petani, Kedah dan Ariff Razali, 34, berasal dari Selayang, Selangor, berkhemah di lokasi tersebut sejak Khamis bersama rakan-rakan sempena cuti umum di Terengganu.

Katanya, kedua-dua mangsa bekerja di syarikat minyak dan gas di Paka.

“Sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 9.21 pagi, anggota dari BBP AMBS dan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, digerakkan ke lokasi kejadian.

“Mayat Mohd Subree ditemukan terapung kira-kira 10 meter dari lokasi kejadian oleh rakan-rakannya pada jam 9.45 pagi, dan telah ditarik ke bahagian tebing manakala mayat kedua ditemui oleh pasukan PPDA di dasar sungai kira-kira 40 meter dari lokasi kejadian, pada jam 1.27 tengah hari.

“Difahamkan tiga rakan mangsa mandi di kawasan cetek, manakala kedua-dua mangsa mandi di bahagian tengah sungai, sebelum mereka hanyut dibawa arus,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Zulhusni berkata, mayat kedua-kedua mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu di Kemaman, mayat seorang remaja ditemui terapung kira-kira jam 12.30 tengah malam Khamis, di Sungai Kampung Teladas.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mangsa dikenali Muhammad Ammar Izzat Zainudin, 16, ditemui oleh orang awam dalam keadaan terapung, bersama motosikalnya.

“Siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal seorang diri dari arah Air Puteh menghala ke rumahnya di Kampung Teladas, dan ketika tiba di lokasi kejadian dipercayai motosikalnya hilang kawalan lalu terbabas ke dalam sungai. Siasatan awal berdasarkan kecederaan pada badan mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah,” katanya.

Hanyan berkata, berdasarkan keterangan waris, kali terakhir Muhammad Ammar Izzat dilihat pada malam Rabu lepas ketika menunggang motosikal yang sama.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut, dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - Bernama