1.5 juta usahawan kecil belum daftar SSM

Wan Junaidi (belakang, dua dari kiri) bersama para usahawan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) pada majlis Sesi Meet & Greet bersama TUBERS Negeri Kelantan hari ini. - Foto Bernama
Wan Junaidi (belakang, dua dari kiri) bersama para usahawan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) pada majlis Sesi Meet & Greet bersama TUBERS Negeri Kelantan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU – Kerajaan mengenal pasti lebih 1.5 juta usahawan kecil yang masih belum berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perkara itu diketahui melalui sumber bancian 2019 dan kemungkinan besar jumlah tersebut melonjak pada bancian 2020.

“Saya telah meminta kementerian mengambil perhatian supaya mereka yang tidak mendapat bantuan daripada kerajaan akan mendaftarkan diri supaya mendapat manfaat secara lebih strategik.

“Melalui pendaftaran, mereka akan menerima pelbagai jenis bantuan daripada kerajaan dan agensi, bukan sahaja dalam kementerian saya tetapi semua agensi boleh membantu bagi memastikan kadar keusahawanan negara meningkat,” katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Wan Junaidi sebelum itu menghadiri Sesi Meet & Greet Bersama Tubers dan Penyerahan Mock Cheque Program Tube Negeri Kelantan di Hotel Perdana Kota Bharu.

Ketika ditanya alasan peniaga untuk tidak berdaftar, Junaidi berkata, antaranya ialah mereka bimbang kemudahan yang diterima daripada kerajaan seperti Bantuan Sara Hidup (BSH) ditarik balik.

“Ini berlaku terutamanya kepada golongan B40 ini. Bagaimanapun, saya sudah bincang perkara ini dengan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Menteri Kewangan (Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) supaya ada kajian lebih terperinci. Tidak semestinya dia rakan kongsi mana-mana syarikat, dia sudah berkemampuan,” katanya.

Sementara itu, Wan Junaidi dalam majlis yang sama memberitahu, sejak diperkenalkan pada tahun 2014, usahawan belia Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) telah mencatatkan secara kumulatif RM127.17 juta nilai jualan terkumpul.

Artikel Berkaitan:

Katanya, nilai itu berdasarkan kepada 5,638 usahawan yang berjaya diwujudkan daripada 5,766 belia bumiputera yang telah dilatih dan dibimbing di seluruh negara memulakan perniagaan di bawah program tersebut.

“Daripada perniagaan yang dijalankan, program ini berjaya mewujudkan 10,581 peluang pekerjaan, termasuklah untuk peserta program itu sendiri.

“Bagi Kelantan, seramai 509 usahawan belia yang menyertai TUBE telah menjana RM8.35 juta nilai jualan terkumpul dan mewujudkan 825 peluang pekerjaan,” katanya.

Pada sesi tersebut, beliau menyampaikan geran perniagaan berjumlah RM150,000 kepada wakil 10 orang peserta TUBE 7.0 yang telah berjaya menamatkan latihan pada tahun lalu dan telah memulakan perniagaan masing-masing.