Menteri Kesihatan lantik 23 anggota MPKBM

Dr Noor Hisham. Foto Bernama
Dr Noor Hisham. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 23 profesional yang berkelayakan dan berpengalaman mewakili 23 profesion daripada sektor awam, swasta dan institusi pengajian tinggi telah dipilih menyertai Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu (MPKBM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, antaranya ialah ahli Audiologi, ahli Dietetik, ahli Entomologi, ahli Fisioterapi, ahli Fizik Perubatan dan ahli Pemakanan.

“Selain itu, ahli Terapi Radiasi, Pegawai Kesihatan Persekitaran, Pegawai Penyediaan Makanan, Pegawai Sains Forensik dan Pegawai Sosial Perubatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba melantik 23 anggota MPKBM yang pertama pada 9 Julai lalu untuk tempoh tiga tahun.

Dr Noor Hisham berkata, mesyuarat pertama telah dilaksanakan pada 6 Ogos 2020 dan mesyuarat kedua pada 21 Disember 2020.

“Antara perkara yang telah dibincangkan dan dipertimbangkan pada mesyuarat tersebut termasuk hal ehwal pentadbiran majlis, terma rujukan anggota majlis dan penetapan polisi serta standard pendaftaran pengamal kesihatan bersekutu.

“MPKBM juga telah memutuskan untuk meneliti semula Jadual Kedua (Seksyen 9 dan 10, Akta 774) dan memperhalusi polisi dan standard kelayakan bagi pendaftaran pengamal Profesion Kesihatan Bersekutu.

“MPKBM juga telah bersetuju menangguhkan sementara proses pendaftaran pengamal kesihatan bersekutu dan tarikh permulaan pendaftaran akan dimaklumkan melalui pengumuman rasmi pada masa yang akan ditentukan kelak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini memaklumkan perkembangan terkini mengenai Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 (Akta 774) yang diluluskan oleh Menteri Kesihatan untuk tarikh penguatkuasaannya bermula 1 Julai 2020.

Akta tersebut diluluskan oleh Parlimen Malaysia dan telah diwartakan pada 18 Februari 2016 bertujuan menguatkuasakan pendaftaran dan mengawal selia amalan profesion kesihatan bersekutu di negara ini dengan mengadakan peruntukan bagi penubuhan Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu Malaysia.

Justeru, Noor Hisham berharap penubuhan Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu Malaysia akan dapat memartabatkan Profesion Kesihatan Bersekutu dan menjamin penyampaian perkhidmatan kesihatan yang selamat dan berkualiti di Malaysia.