Wira Warisan lapor SPRM isu ADUN Sebatik keluar parti

Mohd Ismail (kiri) bersama Ketua Wira Putatan, Mohammad Firdaus Diun (kanan) membuat laporan SPRM terhadap Hassan di pejabat SPRM, Kota Kinabalu.
Mohd Ismail (kiri) bersama Ketua Wira Putatan, Mohammad Firdaus Diun (kanan) membuat laporan SPRM terhadap Hassan di pejabat SPRM, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Wira Parti Warisan Sabah (Warisan) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir yang keluar parti baru-baru ini.

Laporan dibuat di pejabat SPRM Kota Kinabalu oleh Timbalan Ketua Warisan, Mohd Ismail Ayob kira-kira jam 3.30 petang Jumaat.

Mohd Ismail berkata, perkara itu diserahkan kepada SPRM untuk siasatan.

"Dokumen peletakan jawatan yang ditandatangani beliau secara sukarela telah kami lampirkan kepada SPRM," katanya kepada pemberita selepas laporan dibuat.

Diminta mengulas berhubung keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya baru-baru ini, beliau menghormati keputusan tidak menerima surat peletakan jawatan yang dihantar Warisan.

"Kita menghormati keputusan Speaker selaku Speaker Dewan Rakyat yang mempunyai kuasa di DUN tetapi pada masa yang sama, dari sudut perundangan, kita mempunyai hak kerana dari segi dokumentasi dan video itu tiada sebarang paksaan pun daripada Hassan.

"Sebab itu, Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua dan Warisan akan mengambil tindakan perundangan terhadap Hassan," katanya.

Terdahulu, Mohd Ismail berkata, Wira Warisan akan menunggu keputusan daripada pucuk pimpinan di mana parti juga mempunyai peguamnya sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Kita yakin dan percaya peguam dari Warisan akan menjalani tanggungjawab selaras dengan perundangan yang sedia ada mengikut perlembagaan Malaysia," katanya.

Hassan sebelum ini mengeluarkan kenyataan keluar daripada Warisan dan menyatakan sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagaimanapun Warisan kemudian mendedahkan dokumen video taat setia ADUN itu sebelum menjadi calon di Kerusi Sebatik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.