Lebih ramai frontliners dapat vaksin di PKRC MAEPS

Khairy Jamaluddin (dua dari kiri) bersama penerima vaksin dari Ahli Angkatan Perkhidmatan Awam, Neelaa Selvarasan (kiri) ketika melawat PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 pada Jumaat. - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin (dua dari kiri) bersama penerima vaksin dari Ahli Angkatan Perkhidmatan Awam, Neelaa Selvarasan (kiri) ketika melawat PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

SERDANG - Lebih ramai petugas barisan hadapan akan dapat menjalani proses vaksinasi Covid-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) mulai minggu depan.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, PKRC Bersepadu 2.0 MAEPS merupakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang utama di kawasan Lembah Klang.

"Kita nak pastikan kakitangan barisan hadapan diberi perlindungan yang terbaik melalui vaksin," katanya kepada pemberita selepas melawat PKRC Bersepadu 2.0 MAEPS di sini pada Jumaat.

Beliau meluangkan masa kira-kira 30 minit di fasiliti berkenaan termasuk mendengar taklimat daripada Pengarah PKRC Bersepadu 2.0 MAEPS, Dr Shahabuddin Ibrahim serta menyaksikan proses imunisasi kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut Dr Shahabuddin, seramai 216 petugas barisan hadapan telah divaksinasi di fasiliti tersebut.

"Kapasiti sehari di sini, kami boleh vaksin seramai 96 orang dan bermula minggu hadapan kami jangka kapasiti akan meningkat kepada 144 orang sehari," katanya.

Beliau berkata, proses vaksinasi petugas KKM dijangka selesai Rabu depan, sebelum disusuli proses vaksinasi petugas daripada agensi lain seperti polis, bomba, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam. - Bernama

Artikel Berkaitan: