PRU15: Tiada isu UMNO tidak kerjasama dengan Bersatu

Mohamad ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Muafakat Nasional(MN) Negeri Sembilan di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan.
Mohamad ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Muafakat Nasional(MN) Negeri Sembilan di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan.
A
A
A

SEREMBAN - Keputusan UMNO untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak sepatutnya dijadikan isu.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO bukan berada dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) sebagai parti politik sebaliknya sekadar menyokong kerajaan PN hari ini.

"Maknanya sokongan pada kerajaan PN itu sehingga PRU15. Kita kena faham antara kerajaan PN dan parti PN, ia berbeza.

"Sepatutnya PN ini jangan dipanggil sebagai kerajaan PN, sepatutnya kerajaan campuran PN, BN dan Gabungan Parti Sarawak(GPS).

"Apabila disebut sebagai parti PN dan ada parti BN, orang dah salah faham. Mereka tidak dapat membezakan bahawa PN ini hanya satu entiti," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Mesyuarat Jawatankuasa Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan pada Jumaat.

Mohamad yang juga Pengerusi UMNO Negeri Sembilan berkata, sebaik sahaja Parlimen dibubarkan UMNO dan BN tidak lagi mempunyai hubungan dengan Bersatu.

Bagaimanapun katanya, keputusan itu akan berubah jika parti tiba-tiba memilih untuk bekerjasama sebagai satu gabungan.

"Saya rasa pendirian UMNO jelas. PN hanya ditubuhkan kemudian. Sepatutnya dulu Bersatu bergabung dengan MN tetapi mereka mahu menubuh parti dan UMNO menolak untuk sertai kerana kami sudah ada MN," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, keputusan itu dipersetujui majoriti lebih daripada 100 Bahagian UMNO di seluruh negara yang diputuskan dalam Mesyuarat Perwakilan.

Ditanya berkenaan kenyataan Bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa UMNO kini seperti sudah berada di bawah pengaruh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad berkata, penolakan itu bukan kerana sesiapa.

Beliau menegaskan keputusan itu dipersetujui oleh lebih 100 UMNO Bahagian di seluruh negara.

"Tidak timbul isu ia dipengaruhi oleh sesiapa. Ia keputusan majoriti. Dalam amalan demokrasi UMNO walaupun menang dua undi, ia tetap menang.

"Tapi kita tidaklah sampai membuat undi dan mengambil kira pandangan setiap individu," katanya.