231 sekolah rendah di Sarawak dibenar buka mulai Isnin

Sejumlah 231 lagi sekolah rendah di Sarawak dibenar beroperasi secara bersemuka mulai Isnin ini. - Foto Bernama
Sejumlah 231 lagi sekolah rendah di Sarawak dibenar beroperasi secara bersemuka mulai Isnin ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Sejumlah 231 lagi sekolah rendah di Sarawak dibenar beroperasi secara bersemuka mulai Isnin ini, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

JPBN yang bermesyuarat dengan Jabatan Pendidikan Negeri membuat keputusan itu setelah penilaian risiko dibuat, dan segala garis panduan pengurusan serta pengoperasian sekolah dalam norma baharu 2.0 yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) dipenuhi.

“Bagaimanapun, sejumlah 220 sekolah rendah di kawasan berisiko tinggi penularan Covid-19 belum dibenarkan beroperasi sehingga 14 Mac,” menurut kenyataan itu.

KPM sebelum ini membenarkan 814 sekolah rendah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan di Sarawak memulakan sesi persekolahan secara bersemuka mulai 1 Mac.

Sementara itu, JPBN turut memaklumkan bahawa 250 kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan di Sarawak menjadikan jumlah keseluruhan kini meningkat kepada 10,674 kes.

Bagi vaksinasi pula, menurutnya 11,659 orang individu di Sarawak telah diberikan suntikan vaksin Covid-19 sehingga semalam sejak program imunisasi itu bermula pada 26 Februari. - Bernama

Artikel Berkaitan: