Ketua AMK akui pelantikan Ketua Pemuda PH dapat tentangan

Shazni Munir
Shazni Munir
A
A
A

SHAH ALAM - Pelantikan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin sebagai Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) mendapat tentangan daripada sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Perkara mengenai wujudnya penentangan tersebut turut diakui oleh Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Jelas Akmal, ini kerana ramai daripada kepimpinan AMK beranggapan bahawa beliau merupakan individu yang seharusnya dipertanggungjawabkan untuk memegang jawatan tersebut.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, beliau menyambut baik akan pelantikan berkenaan yang telah diputuskan pada Khamis.

“Saya mengalu-alukan pelantikan saudara Shazni Munir selaku Ketua Pemuda PH.

“Walaupun ada desakan daripada kepimpinan dan akar umbi AMK untuk saya mengambil tanggungjawab sebagai Ketua Pemuda PH, saya memilih untuk tidak memperpanjangkan proses pemilihan untuk kepentingan politik PH,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Khamis.

Akmal turut meminta supaya seluruh jentera Pemuda PH daripada semua sayap komponen untuk bersama memperkukuh kesatuan bagi memastikan Pemuda PH muncul sebagai gabungan gerakan yang kuat dan jitu.

Sementara itu, dalam kenyataannya mengenai pelantikan beliau, Shazni Munir tidak memberikan sebarang ulasan berkenaan isu tersebut.

Artikel Berkaitan:

Beliau bagaimanapun turut memberikan penghargaan kepada Akmal dan juga Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Howard Lee dan menyifatkan kedua-dua individu tersebut sebagai rakan seperjuangan dalam perjuangan isu anak muda.

Pada masa sama, beliau berkata, cabaran semasa yang dihadapi oleh anak muda dari segi kewangan dan juga kesihatan menuntut kepada kerjasama yang erat daripada ketiga-tiga sayap pemuda parti komponen PH.

“Kesemua realiti ini menuntut gabungan kekuatan ketiga-tiga tunjang PH. Jentera Pemuda Amanah, DAPSY dan AMK yang tangkas dan responsif perlu disiapkan dalam memenuhi harapan orang-orang muda yang susah," katanya pada Khamis.