Warga emas huni rumah daif terima rumah baharu PUNB

Noh (dua kiri) membuat tinjauan sekitar rumah Noryah yang dalam keadaan daif pada Program Ziarah Kasih PUNB di Jalan Tali Air 3, Pantai Rasa Sayang, Sungai Burong pada Jumaat.
Noh (dua kiri) membuat tinjauan sekitar rumah Noryah yang dalam keadaan daif pada Program Ziarah Kasih PUNB di Jalan Tali Air 3, Pantai Rasa Sayang, Sungai Burong pada Jumaat.
A
A
A

TANJONG KARANG - Seorang warga emas yang menetap di sebuah rumah daif menerima sebuah kediaman baharu hasil bantuan zakat Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bernilai RM30,000.

Noryah Mohamed, 69, berkata, dia menetap di rumah pusaka peninggalan Allahyarham bapanya sejak dilahirkan dan rumah itu rosak teruk di bahagian dinding serta bumbung sejak dua tahun lalu hingga terpaksa menjadikan dapur sebagai ruang utama.

"Bahagian dalam rumah pula perlu dipijak dengan berhati-hati.

"Memang saya tidak selesa terutama apabila hujan lebat. Saya terpaksa menyusun baldi di dalam rumah bagi mengelakkan lantai dibasahi air," katanya pada Program Ziarah Kasih PUNB di rumahnya di Jalan Tali Air 3, Pantai Rasa Sayang, Sungai Burong pada Jumaat.

Menurut Noryah, sumbangan PUNB amat besar ertinya kerana dia tinggal bersendirian dan tidak pernah berkahwin.

Katanya, dia amat berharap rumah baharu itu dapat disiapkan sebelum ketibaan Aidilfitri tidak lama lagi.

"Kalau ada rumah baru nanti, bolehlah adik-beradik saya bertandang ke rumah ini dan saya pun tidak lagi berasa takut jika tinggal bersendirian," katanya.

Sementara itu, Pengerusi PUNB, Tan Sri Noh Omar berkata, PUNB telah meluluskan peruntukan bina baharu rumah tersebut yang dijadualkan siap selewat-lewatnya dalam tempoh sebulan.

Artikel Berkaitan:

"Rumah baharu ini akan dibina di hadapan rumah asal dan kita berharap ia sedikit sebanyak membantu penduduk untuk menginap di rumah lebih selesa," katanya.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, penerima sumbangan merupakan asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan layak mendapat bantuan zakat PUNB.

"Sehingga kini sebanyak empat rumah baharu dibina dan dua lagi sudah dibaik pulih PUNB," katanya.