Sidang Parlimen: Kenyataan Ahmad Zahid ada sedikit kekeliruan

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM – Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz menjelaskan bahawa terdapat sedikit kekeliruan berkaitan kenyataan dikeluarkan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis berhubung persidangan Parlimen.

Menurut beliau, satu Jawatankuasa Siasatan Dalaman diwujudkan bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Merujuk kepada kenyataan media oleh Pengerusi BN bertarikh 4 Mac 2021, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan agar sedikit kekeliruan terhadap kenyataan media berkenaan adalah atas kekhilafan seorang pegawai di Sekretariat Barisan Nasional.

“Sehubungan itu, saya telah mewujudkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman pada pagi ini (Jumaat) bagi membincangkan penyiaran kenyataan media Pengerusi BN yang tidak mendapat kelulusan pihak Sekretariat Dewan Tertinggi BN terlebih dahulu yang kurang tepat sebagaimana yang telah diperbincang dan diputuskan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelasnya, setelah mendengar pandangan Jawatankuasa Siasatan Dalaman, Ketua Pegawai Media Barisan Nasional telah digantung tugas bagi tempoh satu bulan berkuat kuasa serta-merta.

“Ini juga bagi membolehkan proses siasatan dalaman dapat dilaksanakan dengan lebih terperinci dan lebih berkesan,” katanya.

Media pada Khamis melaporkan, Ahmad Zahid dalam kenyataan media berkata, BN mengesyorkan ahli-ahli Dewan Rakyat menyeru Perdana Menteri dan Jemaah Menteri menghormati titah Yang di-Pertuan Agong agar sidang Parlimen dilaksanakan dalam kadar segera.

Katanya, Prinsip Keluhuran Perlembagaan perlu ditegakkan bagi membolehkan Parlimen memainkan peranan yang wajar dalam memastikan semak dan imbang.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: BN rayu sidang Parlimen diadakan segera