PN Perlis sambut baik kenyataan Shahidan teruskan kerjasama

Mohd Shukri Ramli
Mohd Shukri Ramli
A
A
A

KANGAR - Perikatan Nasional (PN) Perlis menyambut baik kenyataan Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mahu meneruskan kerjasama di antara parti tersebut bersama Pas dan Bersatu di negeri ini.

Pengerusinya, Mohd Shukri Ramli berkata, kenyataan tersebut positif walaupun tidak selari dengan surat yang dikeluarkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memutuskan kerjasama dengan Bersatu.

Menurutnya yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis, perkara tersebut selari dengan harapan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu melihat tiga parti terbesar Melayu itu untuk terus berada dalam satu gabungan.

"Walaupun ada surat daripada Datuk Seri Ahmad Zahid kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin namun suara daripada Pengerusi UMNO Perlis amat positif untuk PN Perlis dan UMNO Perlis bekerjasama, kita harap itu berlaku," katanya pada sidang akhbar selepas perjumpaan PN Perlis bersama Muhyiddin di sebuah hotel pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Sah UMNO putuskan hubungan dengan Bersatu

Mengulas lanjut, Mohd Shukri berkata, gabungan itu juga akan melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam bersama rakan gabungan parti lain.

"Pada perjumpaan ini adalah untuk mengesahkan PN Perlis selain menumpukan kepada masalah rakyat, memulihkan ekonomi dan membantu rakyat hadapi Covid-19.

"Kedua, adalah berkenaan penyatuan kerjasama ummah dalam politik dan hasrat Perdana Menteri agar sama-sama bekerja dalam PN untuk memastikan kekangan ekonomi rakyat dapat diselesaikan,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis, sebuah portal melaporkan Shahidan mengumumkan UMNO Perlis akan meneruskan kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), di sebalik keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO menamatkan kerjasama itu di peringkat nasional.