Pegawai LHDN, polis palsu lesapkan RM28,600

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang penjawat awam wanita kerugian RM28,600 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pegawai polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, mangsa berusia 35 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada Khamis.

Kejadian berlaku apabila wanita itu menerima panggilan daripada seorang lelaki melalui talian yang memaklumkan dia mempunyai tunggakan cukai pendapatan sebanyak RM16,000.

"Panggilan itu kemudian disambung kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Pahang dan mangsa kemudian berurusan dengan seorang lelaki Melayu yang menyamar sebagai pegawai polis dengan memperkenalkan dirinya sebagai Asisten Superintenden Ismail.

"Lelaki tersebut memaklumkan mangsa terlibat dengan jenayah pengubahan wang haram dan kes dadah," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Katanya, mangsa juga diminta menyerahkan kesemua jenis akaun bank serta nombor pin keselamatan.

Mangsa ujarnya, turut diarahkan memindahkan sejumlah wang ke akaun Maybank bagi tujuan semakan nombor siri wang tersebut.

"Tanpa berfikir panjang, kira-kira pada jam 5.28 petang semalam (Khamis), mangsa memindahkan wang sebanyak RM28,600 ke dalam akaun tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Rupiah berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu setelah pulang ke rumahnya.

"Polis mengingatkan orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan kepada akaun bank individu yang tidak dikenali.

"Orang ramai juga diminta tidak mudah panik dan cemas sekiranya dihubungi individu tidak dikenali," katanya lagi.