Empat hari siap jambatan

RAJD menerusi projek jiwa murni berjaya menyiapkan jambatan sementara di Kampung Belum Baru, Lenggong hanya dalam tempoh empat hari bagi kegunaan penduduk.
RAJD menerusi projek jiwa murni berjaya menyiapkan jambatan sementara di Kampung Belum Baru, Lenggong hanya dalam tempoh empat hari bagi kegunaan penduduk.
A
A
A

LENGGONG - Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hanya mengambil masa empat hari bagi menyiapkan sebuah jambatan sementara di Kampung Belum Baru, di sini.

Jambatan sepanjang 33 meter dan lebar 3.5 meter itu dilaksanakan menerusi projek jiwa murni yang digerakkan 19 anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) bersama pekerja teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri.

Panglima 2 Briged, Brigedier Jeneral Mohd Azmurin Mat Khalib berkata, kerja-kerja pembinaan dimulakan pada 1 Mac lalu dan siap sepenuhnya pada Khamis bagi menggantikan jambatan lama yang sudah usang.

"Pemasangan jambatan ini diharap dapat meringankan beban penduduk setempat yang terpaksa menggunakan laluan agak jauh untuk ke pekan Lenggong.

"Jambatan sedia ada telah kita runtuhkan dan diganti dengan pembinaan ini, namun ia hanya bersifat sementara sehingga jambatan baharu siap dibina dijangka pada Oktober depan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Penyerahan jambatan berkenaan disempurnakan Mohd Azmurin kepada Penghulu Mukim Kenering, Omar Fazilah Mohamad.

Beliau berkata, bantuan kerja-kerja pemasangan yang diberikan itu selari dengan Tonggak Kelima Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 yang memberi penekanan terhadap peningkatan hubungan Tentera Darat dengan awam.

"Kemudahan jambatan ini amat diperlukan penduduk kampung dan atas keprihatinan semua pihak, ia dapat dilaksanakan di bawah projek jiwa murni," katanya.

Artikel Berkaitan: