Kes baharu positif Covid-19 kekal paras 2,000

Kes baharu positif Covid-19 di negara ini dalam tempoh 24 jam lalu dicatatkan sebanyak 2,154 kes, selain merekodkan enam kematian baharu.
Kes baharu positif Covid-19 di negara ini dalam tempoh 24 jam lalu dicatatkan sebanyak 2,154 kes, selain merekodkan enam kematian baharu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sejumlah 2,154 kes harian baharu Covid-19 dilaporkan pada Jumaat, meningkat sedikit berbanding 2,063 kes pada Khamis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, enam lagi kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas menjadikan bilangan yang meninggal dunia akibat virus itu di negara ini 1,159 orang.

“Kes sembuh yang dicatat hari ini 3,275 orang, lebih tinggi daripada kes baharu yang dilaporkan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, dengan perkembangan terbaharu itu, jumlah kumulatif Covid-19 di Malaysia kini meningkat kepada 310,097 kes, manakala jumlah kumulatif sembuh ialah 286,904 kes manakala bilangan kes aktif Covid-19 ialah 22,034 kes.

Sejumlah 184 kes kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 87 orang memerlukan bantuan alat pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata, Selangor kekal mencatat kes baharu paling tinggi iaitu 794 kes diikuti Johor (463) dan Sarawak (250).

Beliau berkata, sebanyak 666 kes di Selangor atau 83.9 peratus adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Katanya, 10 kluster baharu dikenal pasti hari ini dengan lapan kluster melibatkan tempat kerja dan masing-masing satu kluster keagamaan dan kluster komuniti.

Artikel Berkaitan:

“Kluster baharu tempat kerja yang direkodkan ialah Tapak Bina Jalan Zamrud, Jalan Dato Sellathevan, Industri Cheras Jaya dan Meranti Utama di Selangor; Kampung Nyatoh di Selangor dan Negeri Sembilan; Persiaran Alam di Kuala Lumpur; Jalan Mutiara Barat di Kuala Lumpur dan Selangor; dan Perusahaan 10 di Pulau Pinang.

Kluster baharu komuniti pula dikesan di Kuala Punteh di Sabah, manakala kluster keagamaan di Jalan Senu di Perak.- Bernama