Selesai segera isu permohonan lesen berkembar taska, tadika

Hannah
Hannah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu mencari penyelesaian segera terhadap isu permohonan lesen berkembar untuk pengusaha taska dan tadika dalam satu premis.

Ahli Parlimen Seputeh, Hannah Yeoh berkata, proses libat urus dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pemegang taruh lain perlu disegerakan bagi meneliti keperluan serta kepentingan membenarkan permohonan lesen berkenaan buat pengusaha terlibat.

Beliau berkata, pengurusan institusi pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak perlu segera diselaraskan di bawah satu kementerian sahaja.

"Saya menyeru Menteri KPWKM, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin supaya menjadikan isu ini keutamaan mereka.

"KPWKM dan KPM perlu melihat kewujudan lesen berkembar kepada pengusaha yang memiliki taska dan tadika bagi mengurangkan kerenah birokrasi serta mewujudkan sistem pemantauan lebih berkesan kepada keselamatan serta kesejahteraan kanak-kanak," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Hannah berkata, inisiatif bagi membincangkan perkara itu telah dimulakan sejak pentadbiran Pakatan Harapan (PH) malah pihaknya juga sebelum ini pernah beberapa kali membangkitkan mengenai isu itu di Parlimen.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini masih tiada sebarang jawapan daripada pihak kementerian.

"Kegagalan KPWKM menyelesaikan isu ini menimbulkan banyak kekeliruan dalam kalangan ibu bapa khususnya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Artikel Berkaitan: