Akhirnya, Bersatu terima Ikmal

Sazmi Miah
Sazmi Miah
A
A
A

MACHANG - Sekalipun dikeruhkan dengan beberapa episod penolakan sebelum ini, Bersatu Kelantan tetap mengalu-alukan penyertaan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz menyertai parti itu.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Sazmi Miah berkata, pihaknya menerima keputusan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad itu dengan hati terbuka dan berlapang dada serta yakin keputusan tersebut dibuat dengan mengambil kira pelbagai aspek terutamanya kepentingan parti.

Katanya, yakin pimpinan Pusat telah membuat kajian teliti mengenai permohonan tersebut dan pihaknya sentiasa berbesar hati menerima kemasukan ahli baharu dalam usaha memperkasakan parti tersebut.

Keratan laporan Sinar Online sebelum ini mengenai penolakan Bersatu Kelantan terhadap Ikmal Hisham
Keratan laporan Sinar Online sebelum ini mengenai penolakan Bersatu Kelantan terhadap Ikmal Hisham

"Kita (Bersatu Kelantan) faham dan akur kepentingan parti secara keseluruhannya mengatasi keperluan di peringkat Bahagian atau Negeri. Kami tidak menolak ahli baharu tetapi menapis kemasukan tersebut demi kebaikan parti. "Penolakan sebelum ini juga dibuat dengan mengambil kira keputusan akar umbi. Pengumuman oleh perdana menteri itu diharap akan membuka lembaran baharu bagi semua Ahli Parlimen yang terlibat dan menunjukkan keikhlasan mereka dengan berjuang bersungguh-sungguh bersama Bersatu," katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Pemimpin Bersama Guru Besar di sini, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Dalam politik, jangan taksub pada parti, kata Ikmal Hisyam

Pada awal Januari lalu, beberapa sepanduk yang rata-rata membawa maksud menolak kemasukan Ikmal Hisham ke dalam PH dipasang di sekitar bandar Tanah Merah. Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada perbuatan memasang sepanduk itu dilakukan oleh penyokong PH sendiri atau pihak lain.

Artikel Berkaitan:

Episod penolakan itu berterusan apabila minggu lalu, Bersatu Kelantan mengesahkan penolakan permohonan Ikmal Hisham bagi menyertai parti itu yang mana keputusan tersebut dibuat berdasarkan penilaian dan laporan dari akar umbi dan kepimpinan Bersatu Kelantan.

Namun, semalam, Dr Mahathir mengumumkan penyertaan Ikmal Hisham bersama lima bekas Ahli Parlimen Umno yang lain, Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor) dan Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam).

Mereka menerima kad keahlian Bersatu yang diserahkan Dr Mahathir. Turut menerima kad keahlian parti itu ialah Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin. Dalam pada itu, Dr Mahathir menegaskan kemasukan Ahli Parlimen berkenaan bukan bermakna mereka mencari perlindungan daripada parti itu.