Dua lagi kapal LMS bakal ditempatkan di Sabah

Dua lagi kapal LMS dijangka tiba di Malaysia pada Oktober dan Disember depan. - Foto Bernama
Dua lagi kapal LMS dijangka tiba di Malaysia pada Oktober dan Disember depan. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Dua lagi kapal Littoral Mission Ship (LMS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bakal ditempatkan di Markas Pemerintahan Armada Timur, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK) bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan di perairan negara khususnya di Sabah.

Panglima Tentera Laut, Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata, pada masa ini dua kapal LMS sudah ditempatkan di Sabah iaitu KD Keris dan KD Sundang.

“Dua lagi kapal LMS berkenaan dijangka tiba di Malaysia pada Oktober dan Disember depan. Keempat-empat kapal LMS berkenaan ditempatkan di Sabah disebabkan kesesuaian kapal berkenaan untuk menjalankan operasi di perairan negeri ini.

“Selepas ini kita juga mempunyai rancangan untuk memperoleh beberapa lagi kapal LMS, namun kita belum menentukan jenis dan pembuatnya...semua itu kita akan tentukan kemudian,” katanya kepada pemberita selepas majlis pentauliahan kapal LMS kedua KD Sundang di sini pada Jumaat.

Semasa upacara itu, Mohd Reza membacakan Perintah Pentauliahan sebagai simbolik kepada Pentauliahan Kapal dan turut memakaikan insignia pemerintahan kepada Pegawai Memerintah Pertama KD Sundang, Komander Khairil Sarian.

Upacara yang sangat bersejarah, penuh dengan adat istiadat serta tradisi TLDM itu turut disaksikan Pengerusi Boustead Heavy Industry Corporation (BHIC), Tan Sri Ramlan Mohamed Ali dan Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu Liang Caide.

Mengulas lanjut, Mohd Reza berkata, KD Sundang tiba di PTKK pada 24 Januari lepas selepas mengharungi pelayaran sejauh 1,862 batu nautika.

“KD Sundang mula dibina pada 23 Oktober 2018 di Wuchuan Shuangliu Manufacture Base, Wuhan, China dan ia adalah salah satu daripada lima kelas kapal di dalam Program Transformasi Armada ‘15to5’ TLDM.

Artikel Berkaitan:

"Kontrak perolehan empat buah LMS telah dimeterai antara Kementerian Pertahanan Malaysia dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd pada 23 Mac 2017 dengan kerjasama China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd,” katanya. - Bernama