Jual baju T bantu bekas pemain Kelantan

Ahli Persatuan Bekas-Bekas Pemain Bola Sepak Kelantan yang hadir memberi sokongan kepada persatuan di Kota Bharu pada Khamis.
Ahli Persatuan Bekas-Bekas Pemain Bola Sepak Kelantan yang hadir memberi sokongan kepada persatuan di Kota Bharu pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Persatuan Bekas-Bekas Pemain Bola Sepak Kelantan akan melancarkan baju T khas untuk jualan bagi menambah dana tabung kebajikan ahli-ahli mereka yang memerlukan.

Setiausaha Agungnya, Aziz Mahmud berkata, idea tersebut timbul apabila mereka melihat ramai antara ahli yang juga bekas pemain bola sepak negeri itu berada dalam keadaan uzur dan memerlukan sokongan daripada rakan-rakan seperjuangan.

"Ada yang sakit, ada yang tidak mampu untuk uruskan diri dan sebagainya. Ada juga yang terkesan teruk dengan banjir, masalah pandemik Covid-19 dan banyak lagi. Bantuan kepada ahli ini memang sudah lama kita buat cuma sekarang ini kita bantu melalui duit poket masing-masing.

"Sebab itu kita rancang untuk lancarkan baju T ini untuk menampung tabung kebajikan persatuan supaya lebih ramai ahli yang dapat manfaatnya nanti," katanya pada Khamis.

Beliau berkata, persatuan berkenaan kini mempunyai lebih 50 ahli berdaftar yang rata-ratanya adalah bekas pemain bola sepak Kelantan dalam pelbagai era.

Dengan adanya tabung tersebut, katanya, ia membantu memudahkan urusan pihak ahli jawatankuasa untuk bertindak sekiranya berlaku sebarang kecemasan melibatkan ahli-ahli mereka.

"Buat masa ini kita sedang mereka corak baju T tersebut supaya ia memenuhi keperluan pembeli terutama penggunaan fabrik yang tidak panas. Ada lagi beberapa peringkat yang perlu kita siapkan dan bila semua sudah siap, kita akan lancarkan dengan segera," katanya.

Ketika ditanya mengenai harga yang ditawarkan, Aziz berkata, ia terpulang pada kerja-kerja akhir reka corak dan jangkaan awalnya pihaknya ia adalah tidak melebihi RM40 sehelai.

Artikel Berkaitan:

Aziz bersama lebih 10 rakan sebelum itu merakamkan ucapan tahniah kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Kelantan (PBSMK), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) atas penganugerahan darjah kebesaran sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan baru-baru ini.