Sepanyol minat teroka potensi hijau, ekonomi digital dengan Malaysia

Antara sektor yang memiliki potensi besar adalah tenaga boleh baharu, rawatan air dan sisa, penyelesaian industri berteknologi tinggi dan sistem pengurusan trafik.
Antara sektor yang memiliki potensi besar adalah tenaga boleh baharu, rawatan air dan sisa, penyelesaian industri berteknologi tinggi dan sistem pengurusan trafik.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sepanyol berminat meneroka peluang perniagaan dengan syarikat Malaysia dalam sektor ekonomi baharu digitalisasi dan nyahkarbon, kata penasihat Ekonomi dan Komersial di Kedutaan Sepanyol di Malaysia, Ines Perez-Durantez.

Beliau berkata, kedua-dua negara boleh menjadi rakan kerjasama yang mantap memandangkan kedudukan strategik Malaysia di rantau ASEAN dan kepakaran serta kecanggihan teknologi dimiliki Sepanyol.

Antara sektor yang memiliki potensi besar adalah tenaga boleh baharu, rawatan air dan sisa, penyelesaian industri berteknologi tinggi dan sistem pengurusan trafik.

"Teknologi Sepanyol menawarkan penyelesaian berkualiti tinggi yang fleksibel dan berpatutan dalam pelbagai sektor, padanan sempurna untuk syarikat Malaysia yang berhasrat meningkatkan kemampuan mereka dan terlibat dalam kerjasama untuk berkembang di pasaran ASEAN," katanya kepada Bernama.

Menurutnya pandemik Covid-19 global telah meningkatkan lagi kepentingan ekonomi hijau dan trend menuju digitalisasi dan nyahkarbon.

Memetik perjanjian kerjasama dimeterai tahun lalu antara Axiata dan Telefonica, serta antara Sunway Hotels dan Amadeus, beliau berkata ia contoh syarikat Malaysia dan Sepanyol yang bergabung untuk muncul lebih kukuh di sebalik pandemik.

Perez-Durantez juga optimis Malaysia berada pada posisi terbaik untuk menarik pelaburan bernilai tinggi, jika persekitaran mesra perniagaan berterusan dan pertumbuhan ekonomi diaktifkan semula.

“Malaysia menawarkan ekosistem berbahasa Inggeris moden dengan jaminan undang-undang, tenaga kerja mahir dan akses yang baik ke rantau ASEAN pada kos berpatutan.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi Malaysia harus memastikan semua kelebihan lokasi yang ditawarkannya menguntungkan berbanding beberapa negara ASEAN lain yang memberikan kos lebih rendah, pasaran lebih luas dan pertumbuhan lebih cepat," katanya.

Dalam hal ini, Perez-Durantez berkata, antara fungsi Pejabat Ekonomi dan Komersial di sini, yang ditubuhkan pada 1987, adalah bertanggungjawab membantu syarikat Sepanyol yang berminat melabur di Malaysia dengan memberikan maklumat dan menghubungkannya dengan pemain industri tempatan berkaitan.

Pejabat itu juga membantu syarikat Malaysia yang mahu bekerjasama dengan syarikat Sepanyol untuk membangunkan projek bersama di Malaysia dan di rantau ASEAN, serta terbuka kepada syarikat multinasional atau kecil yang berminat membuka pejabat di Sepanyol - menjadikan negara itu sebagai pintu masuk ke pasaran Eropah, Amerika Latin dan Afrika Utara.

Memetik kerjasama antara MIGHT dan Pusat Pengembangan Teknologi Industri (CDTI), Sepanyol, ujarnya kedua-dua organisasi telah memulakan projek bersama di bidang inovatif dengan syarikat-syarikat Malaysia boleh memohon geran sehingga RM500,000 bagi setiap projek.

Menurutnya, Sepanyol juga terlibat melatih tenaga kerja mahir di Malaysia bagi memenuhi keperluan syarikat yang memulakan pangkalan pembuatan di sini.

Ini dilaksanakan menerusi projek kerjasama teknikal seperti Universiti Kuala Lumpur - Institut Sepanyol Malaysia (UniKL MSI) di Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah.

Di bawah usaha kerjasama erat antara kerajaan Malaysia dan Sepanyol, institusi ini, yang dibuka pada 2003, menawarkan empat program ijazah sarjana muda dan empat program diploma dalam bidang teknologi kejuruteraan dan automotif kepada pelajar tempatan. - Bernama